AM > BERITA

40 Tahun Atom Malaysia: Dari Pengawal Selia Kepada Peneraju Nuklear Negara

30/04/2025 01:30 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 30 April (Bernama) -- Genap 40 tahun penubuhannya, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) kini bersedia melangkah lebih jauh dalam memainkan peranan sebagai pengawal selia penggunaan tenaga nuklear dan sinaran mengion yang digunakan untuk menerajui pembangunan teknologi nuklear negara.

Ketua Pengarahnya Noraishah Pungut berkata pada awal kewujudan, Atom Malaysia memfokus kepada pengawalan bahan radioaktif, namun kini tanggungjawab jabatan berkembang meliputi aspek keselamatan nuklear, perlindungan sinaran dan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selaras dengan kepelbagaian penggunaan serta kepesatan teknologi aplikasi tenaga atom dalam negara.

Beliau berkata lebih 2,000 lesen aktif berada di bawah seliaan Atom Malaysia melibatkan pelbagai industri utama negara seperti syarikat cari gali dan pemprosesan minyak dan gas, kilang serta institusi penyelidikan dan perubatan yang dikawal dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Akta 304.

“Semuanya bergantung kepada peralatan atau bahan berisiko tinggi dan perlu dikawal secara perundangan dengan cekap dan rapi, selaras dengan amalan baik antarabangsa bagi menjamin keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan teknologi tersebut.

“Jika hospital hendak menggunakan radioterapi atau syarikat mahu mengimport bahan industri seperti iridium, mereka perlu mendapatkan kebenaran dan mengikut piawaian ketat Atom Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam wawancara sempena ulang tahun ke-40 penubuhan jabatan itu, baru-baru ini.

Noraishah berkata ramai mungkin tidak menyedari bahawa teknologi nuklear sebenarnya telah lama digunakan secara meluas di negara ini, dan usaha berterusan perlu dilaksanakan supaya tiada persepsi negatif terhadap label ‘nuklear’ yang sering disalahertikan.

“Rawatan kanser, penyelidikan tanaman dan pemeriksaan kejuruteraan, sebagai contoh semuanya menggunakan sinaran mengion,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata antara misi utama Atom Malaysia adalah memberi kesedaran yang diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap teknologi nuklear.

“Kita kena mula menjenamakan semula teknologi ini. Bukan bom, bukan bencana. Ia teknologi bersih dan efisien. Pengendalian yang betul melalui peranan Atom Malaysia memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan dipatuhi menerusi proses serta prosedur kawalan perundangan berkesan,” katanya.

Noraishah berkata seiring dengan usaha Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, tenaga nuklear dilihat sebagai pelengkap realistik kepada campuran tenaga negara dengan Atom Malaysia berada di barisan hadapan dalam menyediakan kerangka kawal selia ke arah itu.

“Sebagai persediaan jangka panjang, Atom Malaysia sedang meneliti pindaan Akta 304 serta mempercepatkan proses ratifikasi beberapa perjanjian antarabangsa utama seperti Convention on Nuclear Safety. Jika Malaysia serius hendak membina loji nuklear, semua (perkara) ini perlu disiapkan dahulu,” katanya.

Namun, beliau mengakui cabaran besar dihadapi ketika ini, ialah memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan.

“Kita perlu melatih lebih ramai orang. Saintis nuklear (dan) jurutera keselamatan... semua ini memerlukan latihan khas,” katanya.

Justeru, Atom Malaysia mencadangkan lebih banyak program kesedaran, pendidikan, latihan industri dan laluan kerjaya khusus diwujudkan bagi menarik minat generasi muda menyertai sektor tersebut.

Noraishah berkata pihaknya juga sedang menilai semula hala tuju strategik kawalan perundangan oleh Atom Malaysia agar lebih sejajar dan berdaya saing dengan perubahan teknologi serta aspirasi negara ke arah status negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan nuklear memerlukan komitmen pelbagai pihak dan bukan hanya daripada agensi kawal selia.

“Keselamatan nuklear bukan tanggungjawab satu pihak. Ia memerlukan kerjasama semua termasuk pihak industri, kerajaan, akademia dan orang awam,” katanya.

Noraishah berkata masih banyak potensi teknologi nuklear belum dimanfaatkan sepenuhnya di Malaysia, terutama dalam kawalan bahan radioaktif semula jadi dalam bidang pertanian, kawalan alam sekitar dan pembangunan bahan baharu selaras dengan polisi kerajaan menerajui industri semikonduktor dunia.

“Di negara lain, mereka menggunakan nuklear untuk membersihkan air tercemar dan menghasilkan bahan baharu. Kita pun boleh, kalau ada kesedaran dan pelaburan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perkembangan dalam bidang itu perlu berlandaskan kerangka perundangan dan keselamatan yang kukuh.

“Kita tak boleh mengambil jalan pintas. Setiap langkah mesti mengikut garis panduan antarabangsa yang dilaksanakan oleh Atom Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang negara. Sebab itu kami sangat berhati-hati,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan