IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Tanah yang diwakafkan untuk kepentingan umat Islam khususnya bagi pembinaan masjid, surau dan sekolah agama di negeri ini wajib didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kaedah itu antara langkah sistematik supaya tidak timbul isu tuntutan tanah berkenaan oleh waris pewakaf atau mana-mana pihak berkepentingan di pada masa hadapan.
“Saya nasihatkan kepada semua masjid yang belum mewakafkan atas nama MAIPk supaya segera berbuat demikian. Alhamdulillah, setakat ini dalam mesyuarat Exco yang saya pengerusikan memang kerap kita luluskan urusan ini.
“Cuma, masih banyak masjid, surau dan sekolah agama yang tidak melaksanakan perkara ini yang mungkin boleh memberi kesan sekiranya berlaku tuntutan daripada mana-mana pihak di kemudian hari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat (STJ) Seluruh Negeri Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tuntutan pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridwan di Alor Pongsu, Kerian yang dimiliki seorang individu bukan Islam, sebelum ini.
Terdahulu, Saarani ketika berucap merasmikan majlis hari ini berkata pihaknya bercadang menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat di seluruh negeri bagi menebus semula tanah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
“Masjid Ar-Ridwan didirikan di atas tanah wakaf tetapi cucu pewakaf berkenaan telah menjual bahagian tanah itu kepada seseorang, maka ia (tanah) didaftarkan hak milik kepada pembeli terbabit dan dia menuntut tanah itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan yang diraih qari dari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang muncul johan bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H pada 3 Mei lepas.
Beliau berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa insentif bersesuaian kepada Aiman Ridhwan terhadap kejayaan mengharumkan nama negeri.
-- BERNAMA
TAG: Saarani Mohamad, Perak, MAIPk, wakaf, masjid, surau, sekolah
MAT HN SZJ
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial