KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Tersentuh dengan penderitaan ditanggung rakyat Palestin memberi kekuatan kepada pakar anestesia Dr Siti Sainira Saidin untuk 'berkampung' selama 30 hari dalam misi kemanusiaan MERCY Malaysia bagi membantu penduduk di zon konflik biarpun berdepan ancaman letupan bom.
Menjadi satu-satunya sukarelawan wanita dalam Pasukan Khidmat Khas 5 (SCT 5) Mercy Malaysia, beliau berkata letupan bom yang kedengaran hampir setiap malam sedikit pun tidak menggetarkan perasaannya malah mengakui ketika itu soal kematian bukan perkara pertama dalam fikirannya.
"Kami ditempatkan di Gaza City, Khan Younis dan utara Gaza. Hampir setiap malam kami dengar bunyi letupan bom, Alhamdulillah kami dapat melaksanakan tugas seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard MERCY Malaysia.
“Tak pernah sekali pun saya terfikir soal mati waktu di sana kerana bagi saya ajal dan maut itu ketentuan Allah SWT. Jadi, sebagai hamba-Nya saya cuma buat yang terbaik untuk sempurnakan misi 30 hari di sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MERCY Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Ketua Operasi Global MERCY Malaysia yang juga Ketua Pasukan SCT 5 Shah Fiesal Hussain serta dua lagi anggota sukarelawan, Mohd Azizul Hakim Danial dan Nurfirdaus Ibrahim.
Berkongsi lebih lanjut pengalaman itu, Dr Siti Sainira berkata beliau bersama tiga lagi sukarelawan lain telah ditugaskan untuk memberikan rawatan kecemasan di beberapa hospital utama termasuk Hospital Al-Shifaa, Al-Nasser dan Kuwait Specialty Hospital dalam misi yang bermula dari 27 Mac hingga 26 April.
Beliau mengakui sebelum ini sering mengikuti perkembangan dan keperitan hidup rakyat di zon konflik menerusi laporan media dan sejak dari itu, menyimpan hasrat untuk menyumbang tenaga dalam misi bantuan dan tidak menyangka impian tersebut menjadi kenyataan menerusi pasukan SCT 5.
"Sebagai wanita, saya amat tersentuh kerana majoriti mangsa konflik adalah wanita dan kanak-kanak. Alhamdulillah, hasrat saya untuk membantu mereka akhirnya tercapai,” katanya yang sudah 17 tahun berkhidmat dalam bidang perubatan.
Biarpun berhadapan pelbagai cabaran sepanjang menjayakan misi tersebut termasuk berjauhan dengan keluarga, Dr Siti Sainira berkata latihan simulasi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berlepas banyak membantunya untuk bersedia dari segi mental dan keselamatan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial