KUALA BERANG, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membawa isu berkait kerja pembaikan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, Hulu Terengganu yang runtuh pada musim tengkujuh baru-baru ini, ke mesyuarat Pasca-Kabinet, esok.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu bagi membolehkan laluan yang sering digunakan untuk ke Gua Musang, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang itu boleh mula dibaiki dan kembali menghubungkan pengguna.
“Perkara ini telah ditimbulkan masyarakat di sini, termasuk ketika saya bertemu dengan mereka hari ini. Petang ini saya akan berbincang dan bertemu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.
“Saya akan bawa (hal pembaikan) ke mesyuarat Pasca-Kabinet esok,” katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, di sini hari ini.
Sebelum ini, laluan di Kilometer 187 hingga 189 Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, ditutup untuk semua kenderaan berikutan runtuhan dan mendapan tanah sejak 28 Nov 2024, ekoran hujan lebat pada Monsun Timur Laut.
Ahmad ketika ditanya apakah masalah yang dikenal pasti pihaknya sehingga menyebabkan timbul isu kelewatan proses pembaikan jalan persekutuan berkenaan, beliau berkata soal peruntukan adalah antara faktor utama.
Beliau berkata pihaknya telah mengambil maklum mengenai permohonan kerajaan negeri sebanyak RM36 juta kepada Kerajaan Persekutuan, bagi urusan tersebut.
“Selalunya jalan-jalan runtuh ini tak sebanyak itu. Kos itu agak tinggi jadi perlukan peruntukan tambahan dari Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Itu yang akan ambil masa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad mencadangkan supaya kursus keusahawanan dimasukan ke dalam kurikulum pelatih ABM, menerusi pembangunan sama ada oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sendiri atau dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, untuk menambah kejayaan kerjaya pelatih.
“Contohnya, ABM Wilayah Utara hanya bersebelahan dengan UUM (Universiti Utara Malaysia). Mungkin UUM boleh (bangunkan kursus keusahawanan). Di Terengganu juga ada universiti yang mungkin boleh kerjasama supaya ada input keusahawanan kepada pelatih,” katanya.
Untuk rekod, ABM Wilayah Timur telah melatih 43,764 pelatih dalam program belia dan personel binaan, manakala anak syarikat CIDB iaitu CIDB Technologies (CIDB Tech) merekodkan 10,295 pelatih dalam bidang berimpak tinggi, setakat Disember 2024.
Tahun ini, ABM Wilayah Timur merancang memperkukuh program pembangunan kemahiran dalam tred kritikal seperti Gas Pipe Fitter dan Scaffholding sementara CIDB Tech akan memperluas program latihan berkualiti dalam bidang minyak dan gas yang disokong pengiktirafan antarabangsa seperti ISO 9001, ISO 37001 dan ISO 17024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial