AM > BERITA

Sistem Kesihatan Negara Perlu Kukuh, Sedia Terhadap Sebarang Ancaman

06/05/2025 06:08 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengulangi semula kepentingan sistem kesihatan negara yang perlu sentiasa kukuh, tersedia terhadap sebarang kemungkinan ancaman, meneroka model pembiayaan dengan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta.

Beliau berkata transformasi sistem kesihatan negara serta isu dan cabaran menghadapi negara menua menjadi topik utama yang dibincangkan pagi ini dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) kelapan 2025. 

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan MySPC telah melontarkan pandangan di sebalik keperluan untuk meneliti semula kedudukan kewangan fiskal (dalam soal pemberian peruntukan),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Shamsul Azri turut berkongsi statistik populasi rakyat Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas yang telah mencapai tujuh peratus daripada jumlah penduduk sekali gus menjadikan negara ini dikategorikan sebagai negara menua.

“Oleh yang demikian, kerajaan MADANI akan memberi fokus kepada aspek kesihatan, kewangan, sistem perlindungan sosial serta ekosistem persaraan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menstruktur semula sistem pembiayaan kesihatan sedia ada agar lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.

Perdana Menteri berkata perkara itu juga menekankan pentingnya tadbir urus, perolehan dan pelaksanaan yang berkesan, serta peranan pelbagai kementerian, khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merangka pelaksanaan seterusnya.

MySPC 2025 turut dihadiri enam menteri Kabinet dan pegawai tertinggi perkhidmatan awam, menumpukan kepada pembentangan mengenai Hala Tuju dan Inisiatif Transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan secara berfasa, serta cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional.

Mesyuarat turut meneliti Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang dibentangkan Kementerian Ekonomi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan