POLITIK > BERITA

LIMA KETUA CABANG MELAKA SOKONG NURUL IZZAH SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN PKR

06/05/2025 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Lima Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menyatakan sokongan padu kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025-2028.

Mereka ialah Ketua Cabang Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), Jagatheason Ramiah (Jasin) dan Md Yusoff Ahmad (Kota Melaka).

Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan pencalonan Nurul Izzah bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan tetapi soal masa depan PKR sebagai parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat, selain beliau bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan parti itu.

“Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi. 

"Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal dan aktivis masyarakat sehingga baru-baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam Project Syndicate Forward Thinkers List tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti," menurut kenyataan itu.

Mereka berkata dalam dunia politik yang dinamik, PKR memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu serta yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.

"Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut. Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif," menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan berasingan, PKR Cabang Tapah turut mencadangkan dan menyatakan sokongan penuh agar Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang dijadual hujung bulan ini.

Ketua Cabang Tapah Azam Afandi berkata sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berpengalaman dan komited dalam perjuangan reformasi, Nurul Izzah membuktikan keupayaan beliau memperjuangkan keadilan sosial serta membawa agenda perubahan yang jelas untuk rakyat.

"Nurul Izzah juga mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya pemikiran progresif untuk menyuntik semangat baharu dalam PKR selain memperkukuhkan lagi sinergi antara parti itu dengan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Pencalonan ini bukan soal personaliti apatah lagi faktor warisan tetapi lebih kepada soal masa depan PKR sebagai parti yang terus relevan serta diyakini rakyat," katanya.

Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR bulan ini. Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan