AM > BERITA

Raja Permaisuri Berkenan Terima Mengadap Kepimpinan PBSMM

08/05/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menerima mengadap Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kepimpinan kanan PBSMM.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada pertemuan itu Tunku Puteri Intan Safinaz mempersembahkan buku bertajuk “A Humanitarian Story’ cetakan PBSMM dalam meraikan ulang tahun ke-75 penubuhan organisasi itu dalam khidmat kemanusiaan.

Buku berkenaan memuatkan kata pengantar nukilan Raja Zarith Sofiah yang juga Penasihat Diraja PBSMM serta koleksi gambar Seri Paduka Baginda sewaktu menyantuni rakyat dilanda musibah.

“Ia memuatkan nukilan Seri Paduka Baginda yang menyertai Bulan Sabit Merah sebagai sukarelawan pada Oktober 2006, serta menceritakan pengalaman Seri Paduka Baginda dalam kerja-kerja kemasyarakatan termasuk bencana banjir besar melanda Johor pada Disember 2006 mengakibatkan lebih 100,000 penduduk negeri itu terjejas,” menurut hantaran itu.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda bahawa PBSMM berhasrat untuk menjual buku berkenaan dalam usaha mengisi dana organisasi berkenaan.

Pada pertemuan yang berlangsung selama hampir sejam itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut mempersembahkan perkembangan semasa serta aktiviti kemasyarakatan dijalankan PBSMM termasuk latihan yang diberikan kepada para sukarelawan khususnya dalam menghadapi bencana banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan