AM > BERITA

Tun Mohd Ali Lancar Buku 'Jejak Haramain Ke Istanbul'

05/05/2025 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini melancarkan buku 'Jejak Haramain ke Istanbul: Februari 1910-November 1910' di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) di sini.

Karya terbitan IIUM Press itu mengabadikan catatan kembara Allahyarham Habib Shaikh Muhammad Hussein Al-Habshee, seorang ulama ternama yang merentas pelbagai wilayah utama dunia Islam seperti Makkah, Arab Saudi, Palestin dan Istanbul, Turkiye pada awal abad ke-20, bagi mengukuhkan persaudaraan Islam serta memperluaskan jaringan ilmu.

Rektor IIUM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dalam ucapannya menyifatkan karya tersebut sebagai dokumen penting ke arah menyambung semula kesinambungan sejarah dan warisan keilmuan Islam di rantau ini. 

“Jejak Haramain ke Istanbul mengingatkan kita bahawa ilmu yang hakiki menuntut tiga asas iaitu niat yang benar, perjalanan yang tulus dan rasa hormat kepada tradisi. Ia adalah satu bentuk integrasi ilmu dan adab yang amat relevan dengan misi IIUM sebagai ‘Taman Ilmu dan Budi’,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Muhamad Razak Idris, Presiden IIUM Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Seri Dr Syed Hussien Abd Kadir Al-Habshee, tokoh akademik, pensyarah serta penuntut universiti. 

Sementara itu, Syed Hussien yang juga cucu kepada Allahyarham Habib Shaikh berkata semangat ‘rihlah’ ilmu (perjalanan mencari ilmu) seperti digambarkan dalam buku tersebut perlu disuburkan semula, terutama dalam kalangan belia masa kini bukan sahaja untuk tujuan akademik tetapi juga bagi membentuk keperibadian, pengukuhan identiti, dan penghargaan mendalam terhadap tamadun Islam.

“Penerbitan buku ini bukan sekadar penghormatan kepada datuk saya, lebih penting ia bertujuan  memberi inspirasi kepada generasi hari ini untuk terus menjejaki jalan ilmu, keperibadian dan keimanan," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa buku Jejak Haramain ke Istanbul akan diterjemahkan ke bahasa Turki, susulan permintaan secara peribadi daripada Duta Turkiye Malaysia Emir Salim Yuksel. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan