PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan meneliti kaedah terbaik bagi memperkenalkan dasar lebih progresif berkaitan pengurusan sisa plastik yang kini menjadi cabaran terbesar negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata pengurusan tidak baik sisa plastik boleh mendatangkan pelbagai masalah termasuk terhadap kesihatan rakyat negara ini.
“Menjadi soal terbesar di peringkat kerajaan, (apabila) kita sudah mempunyai Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 iaitu ke arah pengurangan plastik sekali guna dan juga Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030.
“Namun cabaran kita (adalah untuk memperkenalkannya) dalam bentuk dasar yang besar dan kita juga masih belum ada satu perundangan jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ecopod dan Penyampaian Anugerah Guinness World Records di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata penyertaan Malaysia pada Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS COPs) pada 28 April hingga 9 Mei lepas di Geneva, Switzerland menunjukkan komitmen negara dalam isu pengurusan sisa plastik.
“Soal Perjanjian Plastik Global (GPT) telah mendapat perhatian seluruh dunia dan kita sedang berbincang mencari pendekatan yang kita rasa inklusif dan juga progresif. Ini merupakan isu utama,” katanya.
Berhubung pengiktirafan Guinness World Records kepada Ecopod sebagai mesin layan diri kitar semula ternipis di dunia, Nik Nazmi berkata pembinaan mesin itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau berkata pembinaan mesin itu amat signifikan dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 serta matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial