KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyantuni tujuh keluarga yang terlibat dalam kebakaran di kawasan berkenaan menerusi Program Ziarah Kasih MADANI.
Dr Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras serta Bandar Tun Razak selain bantuan barangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam usaha meringankan beban mangsa.
“… dengan sumbangan ini diharap dapat meringankan sedikit beban mangsa atas musibah yang berlaku,” katanya selepas sesi agihan sumbangan Program Ziarah Kasih MADANI di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Che Samsuzuki Che Noh.
Sebanyak tujuh keluarga ditempatkan di PPS itu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku di Lorong Mewah 3, Bandar Tun Razak pada malam Ahad lepas.
Sementara itu, Azman berkata pihaknya kini sedang menguruskan pencarian penempatan di perumahan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Bandar Tun Razak.
“Kita menganggarkan tempoh sekitar satu hingga dua minggu untuk mendapatkan rumah-rumah DBKL baharu bagi memastikan mereka tidak perlu tinggal terlalu lama di PPS, sekali gus memudahkan anak-anak ke sekolah. Insya-Allah kami sedang berusaha sedaya upaya demi keselesaan mangsa-mangsa yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa kebakaran Junainah Ismail, 47, yang berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan menzahirkan ucapan penghargaan kepada isteri Perdana Menteri, agensi serta pihak-pihak yang terlibat kerana turun padang melihat mangsa yang terjejas.
“Saya rasa lega kerana ada pihak yang prihatin dengan masalah kami. Saya berharap pihak berkenaan sudi membantu kami mendapatkan kembali rumah untuk didiami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial