AM > BERITA

Hari Pertama PMR 2025 Sabah Sarat Dengan Pelbagai Pengisian

09/05/2025 08:28 AM

TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini membuka tirai hari ini dengan pelbagai pengisian menarik untuk semua pengunjung.

Program tiga hari itu yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan dimulakan dengan tinjauan mesra oleh menteri berkaitan Datuk Ewon Benedick bersama Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah.

Hari pertama juga bakal menampilkan pelbagai program ceramah atau pocket talk untuk pengunjung antaranya bertajuk 'Program Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam' dan 'Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025)'.

Tajuk lain termasuk 'Rahsia Kejayaan Usahawan', 'Sinergi Dalam Keselamatan', 'Kemenangan Malaysia Dalam Tuntutan Sulu', 'Menyingkap Kejayaan Usahawan Satu Daerah Satu Industri Borneo', 'Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional' serta 'Digital Dengan Yakin Elak Scammer'.

Pelbagai pertandingan turut diadakan antaranya Busana Tradisional Kanak-Kanak dan cabutan bertuah selain demonstrasi masakan rumpai laut dan Kuiz Ria Interaktif: Ada Apa Dengan ASEAN.

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan murid antaranya Persembahan Murid Tema Perpaduan Generasi MADANI, persembahan buskers, persembahan Tarian Rampaian Malaysia Borneo dan alunan alat muzik tradisional Kulintangan.

Pada sebelah malam pula Ewon dijadualkan menghadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Formula Saudagar Akhirat’ di Pentas Utama dan orang ramai dijemput hadir.

Majlis penutup PMR 2025 Sabah pada Ahad ini bakal dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka 

PMR merupakan usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama KUSKOP dan kerajaan Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani kemiskinan tegar secara mampan menerusi pendekatan yang memperkasakan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan