AM > BERITA

PMR 2025 Sabah Wadah Pembuka Minda Rakyat Terus Majukan Diri

09/05/2025 10:23 AM

TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Tawau merupakan wadah yang membuka minda masyarakat bagi membudayakan inovasi untuk maju dalam setiap bidang diceburi, demikian menurut pemimpin masyarakat di sini.

Justeru, penduduk di Tawau dan daerah di sekitarnya seperti Kalabakan, Kunak, Semporna dan Lahad Datu tidak seharusnya mensia-siakan program yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bermula pada hari ini hingga Ahad kerana ia tidak selalu diadakan di daerah ini.

Program yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertemakan "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan" itu menyediakan 36 reruai kementerian serta agensi Persekutuan dan negeri, dan juga 204 perkhidmatan touchpoint rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Datuk Rina Jainal berkata penduduk sekitar perlu merebut peluang dengan menghadiri program tiga hari itu kerana ia menyediakan pelbagai maklumat dan peluang kepada mereka untuk menerokai bidang yang ingin diceburi.

"PMR yang dirancang sangat inklusif, ada sesi berkaitan ekonomi, advokasi, soal keselamatan … penduduk Tawau boleh mendapatkan banyak informasi melalui pengisian program dalam PMR selain membuka ruang idea untuk perniagaan," katanya kepada Bernama.

Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata pengisian program yang ditampilkan begitu dekat dengan keperluan masyarakat setempat.

Turut senada ialah ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang berharap penduduk Tawau, Kalabakan dan daerah di sekitar hadir ke PMR kerana program berkenaan dirangka untuk membantu rakyat.

"Banyak yang rakyat boleh rebut peluang, ada pemeriksaan kesihatan, ada pengurangan saman, ada jualan murah, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ada produk peniaga tempatan,” kata Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDEK) itu.

Penasihat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah Tan Sri Liew Yun Fah berkata PMR menyediakan banyak faedah untuk rakyat termasuk golongan peladang.

"Bawa keluarga datang bersama-sama, ada pelbagai aktiviti bukan sahaja untuk mendapatkan jualan murah dan Agro MADANI, tetapi ada aktiviti untuk anak-anak seperti kuiz dan pertandingan mewarna," katanya.

Sementara itu, Presiden MPT Joseph Pang menzahirkan penghargaan atas kepercayaan kerajaan kerana memilih Tawau sebagai tuan rumah untuk PMR 2025.

"Ia menjadi cabaran buat kami untuk memastikan program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan KUSKOP dilaksanakan sebaiknya.

"Karnival PMR ini penting, banyak manfaat yang boleh rakyat dapat antaranya penduduk boleh berurusan terus dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya.

Beliau berkata penduduk juga boleh membuat permohonan bantuan, semakan status atau kelayakan di reruai terlibat sepanjang PMR berlangsung.

Pang berkata kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal merasmikan PMR 2025 Sabah akan menjadi tarikan utama selain sambutan Program Jualan Rahmah serta sukan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan