AM > BERITA

Lebih 1,000 Sertai 'Fun Run & Fun Ride' Sempena PMR Sabah 2025

10/05/2025 10:16 AM

TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyertai lebih 1,000 peserta dalam acara “Fun Run & Fun Ride” yang berlangsung pagi ini sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Sabah 2025 di sini.

Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Nur Ainnayati Sallehuddin yang juga ahli jawatankuasa penganjur program itu, berkata acara berkenaan turut disertai 30 peserta berbasikal.

“Sebenarnya, penyertaan dibuka kepada 1,000 peserta sahaja, namun disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, kita benarkan sesiapa sahaja yang hadir untuk turut serta memeriahkan program ini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata acara larian sejauh lima kilometer itu bermula pada 6.20 pagi dan terbuka kepada semua peringkat umur yang berminat.

Nur Ainnayati berkata program itu merupakan satu daripada pengisian aktiviti sepanjang PMR 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam hingga esok.

“Selain larian dan berbasikal, peserta juga berpeluang menyertai aktiviti Zumba serta memenangi 50 hadiah cabutan bertuah yang telah disediakan,” katanya.

Tawau menjadi tuan rumah bagi PMR 2025 Sabah, sebuah inisiatif berteraskan rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan KUSKOP selaku kementerian peneraju, dari 9 hingga 11 Mei 2025.

PMR 2025 Sabah yang bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan” merupakan sebuah gerakan nasional bagi memperkasakan rakyat dengan mengurangkan kadar kemiskinan melalui aktiviti keusahawanan.

Program ini berteraskan nilai-nilai yang terkandung dalam kerangka Malaysia MADANI, iaitu kelestarian, hormat, inovasi, kesejahteraan dan keyakinan.

Inisiatif ini menyatukan kementerian Persekutuan, agensi kerajaan negeri dan usahawan akar umbi bagi menyampaikan perkhidmatan serta peluang secara langsung kepada masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan