KEPALA BATAS, 12 Mei (Bernama) -- Keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan besar kepada Perdana Menteri kelima itu.
Anak Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin berkata penukaran nama MRSM Kepala Batas itu kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sangat bermakna, kerana ia merupakan kawasan bekas Perdana Menteri tersebut sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.
“Ia sebenarnya satu penghormatan lebih bermakna, kerana pemasyhuran MRSM itu diberikan di kawasan Kepala Batas, iaitu kawasan amat dekat di hati Pak Lah (Abdullah), di sini lah beliau dibesarkan, diasuh, dididik dan di sini juga Allahyarham ayah, bonda dan nendanya disemadikan dan di sini beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat kepada rakyat Kepala Batas, selama lebih tiga dekad.
“Saya mewakili keluarga Tun Abdullah menzahirkan ribuan terima kasih kepada semua, terutama Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semua pemimpin dan penduduk Kepala Batas di atas pemasyhuran MRSM Kepala Batas sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Khair Razman Mohamed Annuar dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Kamaluddin yang beberapa kali kelihatan sebak ketika berucap pada majlis itu berkata bukan mudah untuk seorang anak yang kehilangan bapanya dan masih berkabung namun terpaksa berucap di depan orang ramai.
“Lebih-lebih lagi luka itu masih mendalam dan belum sembuh mengenangkan ayah yang sudah meninggalkan kami selamanya-lamanya, saya minta maaf kerana saya sebak sedikit semasa berucap hari ini,” katanya.
Beliau berkata selepas pemergian Tun Abdullah, keluarganya dikunjungi ramai orang yang datang memberi ucapan takziah dan mereka juga menceritakan peribadi Allahyarham antaranya sikap kesabarannya, sentuhan peribadi, kasih sayang dan sentuhan peribadi yang sering mencuit serta mencuri hati orang ramai.
Malah, Kamaluddin berkata mereka juga menyifatkan Tun Abdullah seorang yang menghormati sesiapa sahaja tanpa mengira darjat baik pembesar negara, mahupun nelayan atau petani biasa dan Allahyarham tidak pernah membeza-bezakan.
“Kalau kita ingin memahami lebih mendalam siapa Tun Abdullah, kita boleh menghayati isi kandungan puisi nukilan Pak Lah iaitu tajuk “Mencari Damai Abadi” dan itu lah sebenarnya Pak Lah, seorang insan biasa yang hidup bertaqwa kepada Allah dan seorang insan biasa diangkat jadi pemimpin negara.
“Isi kandungan puisi itulah legasi Pak Lah kepada kita, bukan jalan, jambatan atau bangunan pencakar langit dan ia (puisi) mengambarkan satu tatacara hidup untuk sepanjang hidup kita dan menjadi panduan serta pedoman hingga akhirat nanti,” katanya.
Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 14 April dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial