POLITIK > BERITA

AMIRUDIN INGATKAN CALON PKR JAGA TERTIB , AMAL POLITIK MATANG KETIKA BERKEMPEN

12/05/2025 10:13 PM

SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) --Semua calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR 2025 diingatkan supaya menjaga adab dan tertib sepanjang tempoh berkempen serta mematuhi tatacara yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata peringatan itu turut ditujukan kepada dirinya memandangkan beliau turut bertanding mempertahankan jawatan disandang.

Menurutnya pemilihan kali ini bukan sahaja platform untuk memperkenalkan gagasan masing-masing, malah menjadi ruang menilai prestasi pimpinan sepanjang penggal lalu.

“Pemilihan kali ini merupakan peluang untuk melihat semula prestasi kita sebelum ini untuk dinilai oleh anggota parti, selain turut diperhatikan oleh rakyat.

“Sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan, rakyat akan memerhati segala tindak-tanduk kita. Justeru, marilah kita amalkan politik yang damai dan matang demi kepentingan bersama,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor menerusi ciapan di platform X.

Proses pencalonan yang berakhir pada Jumaat lepas menyaksikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar, manakala bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan antara anaknya, Nurul Izzah Anwar dengan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, sebanyak 12 pencalonan diterima termasuk tiga penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Mat; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Aminuddin.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menang tanpa bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala jawatan Ketua Wanita menyaksikan pertandingan antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan