AM > BERITA

PM Ucap Takziah Atas Pemergian Tokoh Pejuang Hak Wanita Rasammah Bhupalan

13/05/2025 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh perjuangan hak wanita Datuk Rasammah Bhupalan yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mendiang merupakan seorang pejuang dan tokoh yang teguh serta konsisten dalam isu mengenai keadilan dan kesetaraan jantina selain keamanan.

"Terkedu saat menerima (berita) pemergian Datuk Rasammah Bhupalan pagi ini yang merupakan satu nama yang tidak kecil di Malaysia.

"Legasi yang ditinggalkan sudah tentu akan membekas serta memberi inspirasi besar kepada perjuangan kaum wanita di Malaysia, selain pernah mencurahkan bakti sebagai guru di Methodist Girls’ School Penang," katanya.

Anwar berkata dalam lembaran sejarah, nama Rasammah terukir sebagai insan yang tegas dalam memperjuangkan hak wanita termasuk mempersada prinsip 'gaji munasabah untuk kerja yang setara' iaitu antara perjuangan mendiang yang dinikmati generasi hari ini meski terlupakan. 

"Secara peribadi, saya mengenang sosok ini sebagai seorang yang tidak hanya berdiri teguh untuk keadilan tetapi juga sebagai seorang yang dekat dan mendukung saya sedari awal.

"Di era gelap 1998, beliau antara suara yang memberi sinar dan menjadi sumber kekuatan kepada saya dan keluarga. Pemergiannya pasti meninggalkan bekas yang mendalam tidak hanya kepada saya secara peribadi malah kepada negara dan rakyat juga," katanya.

Perdana Menteri turut berharap legasi yang ditinggalkan tokoh itu dapat dihayati oleh semua pihak terutama dalam usaha mengangkat suara dan hak kaum wanita sebaiknya.

Rasammah, 98, yang merupakan pejuang kemerdekaan, pendidik dan pelopor perjuangan gaji setara, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Damansara Heights di sini pada 9 pagi kerana sakit tua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan