AM > BERITA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Sembilan Anggota FRU

14/05/2025 10:42 AM

KUANTAN 14 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak semalam. 

Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook hari ini menyifatkan kehilangan wira negara itu bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan setugas, malah turut menyentuh hati seluruh rakyat serta anggota pasukan keselamatan yang sentiasa berdedikasi menjalankan tugas.

“Baginda berdua amat dukacita atas pemergian kesemua wira negara yang telah menabur bakti serta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas sebagai anggota keselamatan,” menurut hantaran tersebut.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan, kekuatan serta lindungan Ilahi dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” titah baginda berdua. 

Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU maut apabila kenderaan dinaiki mereka semasa berkonvoi untuk ke kembali Ipoh selepas penugasan di Teluk Intan, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu.

Lapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan