AM > BERITA

Malaysia Gesa Pembaharuan Segera Dalam Operasi Pengaman PBB

14/05/2025 12:27 PM

Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

BERLIN (Jerman), 14 Mei (Bernama) -- Malaysia menggesa pembaharuan yang berani dan berpandangan jauh dalam operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan anggota yang lebih baik ketika menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggota pengaman hari ini berdepan cabaran yang semakin rumit dan berkembang dengan landskap geopolitik dinamik, menekankan kepentingan evolusi berterusan dalam misi Pengaman PBB.

Beliau berkata dalam konteks itu, Malaysia percaya bahawa terdapat dua anjakan penting untuk memacu pembaharuan yang bermakna.

"Pertama, melengkapkan anggota pengaman dengan peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi adalah amat penting. Integrasi strategik teknologi canggih dalam operasi pengaman berperanan sebagai penghalang berkesan terhadap pihak yang bermusuhan.

"Integrasi ini akan meningkatkan keupayaan pasukan untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan terhadap ancaman baharu dalam misi pengamanan. Pasukan pengaman yang diperkasakan dengan teknologi bukan sahaja memperlihatkan kekuatan dan kewibawaan moral, tetapi juga memperkukuh keazaman kolektif untuk menegakkan keamanan dan keselamatan," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian semasa intervensi beliau dalam High-Level Session II - Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping pada forum UN Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di sini pada Rabu.

Selain itu, beliau berkata PBB perlu memberi penekanan terhadap usaha pembangunan kapasiti kerana sebagai negara penyumbang anggota tentera yang telah lama terlibat, Malaysia amat percaya kepada kepentingan latihan, khususnya dalam bidang yang meningkatkan kebolehoperasian bersama, memudahkan perkongsian ilmu, dan meningkatkan keselamatan dan keberkesanan keseluruhan pasukan pengaman.

"Apabila misi menjadi lebih kompleks, adalah penting untuk kita melabur dalam program latihan yang bukan sahaja membangunkan kecekapan operasi asas, tetapi juga mempersiapkan anggota untuk mengintegrasi dan menggunakan teknologi canggih dengan berkesan.

"Pada masa sama, kita mesti memastikan bahawa kerangka institusi dan dasar berkembang seiring dengan perkembangan teknologi ini. Ia termasuk menyemak semula doktrin operasi, mengemas kini prosedur operasi standard, serta menetapkan garis panduan yang jelas untuk penggunaan teknologi baharu dengan beretika dan bertanggungjawab," katanya.

Justeru, Mohamed Khaled menekankan bahawa pembaharuan misi pengamanan terletak pada persimpangan antara teknologi, latihan dan dasar.

"Dengan melengkapkan anggota pengaman dengan peralatan moden, melabur dalam pembangunan kapasiti yang komprehensif, dan memastikan kerangka institusi kita kekal tangkas dan responsif, kita dapat membina pasukan yang bukan sahaja bersedia dan berkesan dari segi operasi, tetapi juga dipandu oleh nilai yang kukuh dan rasa tanggungjawab yang mendalam," katanya.

Forum dwitahunan itu menghimpunkan pemimpin dan pegawai tertinggi negara yang mendukung misi pengaman di bawah PBB, dengan Mohamed Khaled mengambil peluang untuk menyuarakan pandangan serta memperbaharu komitmen negara untuk menyokong usaha keselamatan sejagat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan