AM > BERITA

Cuepacs Gesa Nilai Semula SOP, Langkah Keselamatan Pengangkutan Anggota Keselamatan

14/05/2025 04:10 PM

KOTA BHARU, 14 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah keselamatan melibatkan pengangkutan untuk anggota keselamatan awam bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata antaranya seperti kapasiti penumpang kenderaan, kelengkapan tali pinggang keledar dan ciri-ciri keselamatan lain yang terdapat pada setiap kenderaan yang digunakan.

"Penggunaan kenderaan yang lebih sesuai juga perlu dipertimbangkan, terutamanya bagi perjalanan yang bukan melibatkan operasi seperti latihan atau bengkel.

"Bagi pergerakan (pengangkutan) operasi ke kawasan berisiko tinggi, kenderaan yang lebih kukuh dengan perlindungan tambahan perlu dipertimbangkan untuk memastikan keselamatan anggota," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025, di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan anggota perkhidmatan awam dilindungi di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) yang menggariskan tanggungjawab majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. 

"Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Perkhidmatan Awam 2012 juga menuntut majikan untuk memastikan kebajikan pekerja terjamin, termasuk perlindungan insurans dan pampasan sekiranya berlaku kecederaan atau kematian semasa bertugas.

"Saya harap skim pencen baharu yang bakal diperkenalkan kelak akan merangkumi perlindungan yang setara dengan pencen semasa termasuk kebajikan serta pampasan kepada waris anggota yang terkorban dalam menjalankan tugas," katanya.

Mengulas mengenai kejadian yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak semalam, Adnan berkata beliau yakin pihak berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya sebelum setiap pergerakan dilakukan, namun penambahbaikan perlu dilakukan untuk mencegah tragedi seumpama ini daripada berulang.

"Saya ingin menzahirkan rasa dukacita atas insiden kemalangan maut yang berlaku semalam. Tragedi ini mengingatkan kita betapa pentingnya menyediakan kebajikan terbaik kepada anggota, bukan hanya dari segi skim pencen, tetapi juga pampasan kepada waris sekiranya berlaku kemalangan," katanya.

Dalam kejadian 8.50 pagi semalam, sebuah lori FRU dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terlibat dalam kemalangan dengan lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini, mengorbankan nyawa sembilan anggota FRU.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan