TOKYO, 14 Mei (Bernama-Kyodo) -- Kanak-kanak di Jepun terus mengalami tahap kesihatan mental yang rendah, dengan negara itu berada di kedudukan ke-32 daripada 43 negara maju dan membangun, berpunca daripada kadar bunuh diri yang tinggi dan faktor lain, menurut laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Agensi Berita Kyodo.
Walaupun Jepun menunjukkan peningkatan daripada kedudukan ke-37 pada 2020 apabila penilaian terakhir dibuat, kadar bunuh diri dalam kalangan belia Jepun kini adalah yang keempat tertinggi dalam kalangan negara kaya yang dikaji, berbanding kedudukan ke-12 sebelum ini.
Sebaliknya, Jepun mengekalkan kedudukan teratas dalam kategori kesihatan fizikal, tidak berubah daripada laporan sebelumnya.
Laporan UNICEF itu menganalisis negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Kesatuan Eropah dalam tiga kategori iaitu kesejahteraan mental, kesihatan fizikal, serta kemahiran akademik dan sosial.
Jepun menduduki tempat ke-12 dalam kategori kemahiran akademik dan sosial, meningkat daripada kedudukan ke-27 dan berada di tempat ke-14 secara keseluruhan, naik daripada tempat ke-20. Belanda menduduki tempat pertama secara keseluruhan, dalam ranking yang tidak termasuk Amerika Syarikat dan enam negara lain yang mempunyai data kesihatan mental yang tidak mencukupi.
“Ada kurang kesedaran yang kanak-kanak menghadapi masalah mental di Jepun dan langkah kerajaan setakat ini tidak berkesan,” kata Profesor Aya Abe dari Universiti Metropolitan Tokyo yang pakar dalam isu kemiskinan.
Mengenai kesihatan fizikal, beliau berkata, “Kadar obesiti memang rendah, tetapi ada masalah kekurangan berat badan dalam kalangan kanak-kanak.”
Laporan itu turut menyatakan bahawa pandemik COVID-19 menjejaskan prestasi akademik serta kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak di negara maju secara signifikan.
Selain itu, ia menggesa setiap negara untuk menangani isu yang menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak yang sedang membesar dalam dunia moden yang dipengaruhi oleh wabak, konflik dan perubahan iklim.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial