Oleh Nur Afiradina Arshad/Razif Rosli
IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Isteri Koperal Haslizal Mohd Ali, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang kritikal akibat kemalangan kenderaan pasukan itu di Teluk Intan Selasa lepas, memohon doa orang ramai supaya suaminya segera sedar dan kembali sembuh.
Siti Rafidah Kamis, 43, yang juga seorang guru berkata suaminya masih tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Teluk Intan kerana kecederaan pada tulang rusuk selain terdapat masalah pada paru-paru.
“Suami perlu ditidurkan. Memang susah hati (dengan keadaan itu), bagaimanapun saya difahamkan perkara itu adalah terbaik buat masa ini supaya suami tidak rasa sakit.
“Saya mohon semua mendoakan supaya suami cepat sedar. Kami sekeluarga amat rindu dan berharap suami segera kembali ke pangkuan keluarga,” kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara lima hingga 14 tahun itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Siti Rafidah berkata semasa kejadian, suaminya yang telah 23 tahun berkhidmat, berada di bahagian belakang sebelah pemandu trak FRU dan impak perlanggaran menyebabkan tulang patah pada bahagian rusuk dan terkena pada paru-paru hingga mengakibatkan pendarahan dalaman.
Dalam kemalangan 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini.
Selain Haslizal, 44, dua lagi anggota FRU yang masih kritikal dan tidak sedarkan diri di ICU hospital sama ialah Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.
Empat anggota cedera dan dirawat di hospital sama ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26; Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.
Sementara itu, isteri Koperal Mohd Izwan Ishak ketika dihubungi berkata suaminya mengalami pendarahan dalaman serius, trauma pada perut dan patah beberapa tulang badan.
Nor Diyana Nor Mohamad, 39, berkata dia dimaklumkan Mohd Izwan mengalami patah kedua-dua tulang selangka, empat tulang rusuk kiri dan dua tulang rusuk kanan selain di bahagian pinggang yang masih tidak diketahui tahap kecederaan.
“Paru-paru telah ditebuk bagi mengeluarkan pendarahan pada organ itu manakala satu buah pinggang turut mengalami kecederaan dalaman,” katanya.
Nor Diyana berkata Mohd Izwan sempat meluangkan masa bersamanya sebelum menjalankan tugas 'Ops Chariot', malah beberapa hari sebelum kejadian ada bertanyakan kepadanya sama ada mahu menjaga sekiranya suaminya menjadi orang kurang upaya.
“Kalau abang lumpuh tak sempurna, sayang jaga tak orang cacat macam abang?," katanya.
Menurutnya, pada Ahad lepas, Mohd Izwan juga sempat menyertai satu program larian di Pantai Remis, namun mengadu pening sejurus pulang ke rumah.
“Dia beritahu seperti nak muntah, macam kena goncang dalam kereta kotak. Saya beritahunya mungkin akibat tidak cukup tidur, tetapi apabila terjadi insiden ini mungkin itu petanda awal suami ditimpa kemalangan," katanya.
Nor Diyana berkata ketika ini dia sekeluarga hanya mampu berdoa dan yakin suaminya akan sedar dan kembali sihat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial