Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Penjara ke-235 tahun ini menyoroti penubuhan penjara moden pertama di Malaysia di Fort Cornwallis di sini, dalam usaha memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap sejarah dan evolusi sistem pemulihan negara.
Penjara moden pertama itu dibina sekitar 1790, iaitu ketika era pemerintahan kolonial British, menjadikan Fort Cornwallis sebagai lokasi penting dalam sejarah institusi tersebut.
Pengarah Penjara Pulau Pinang Abd Rauf Lang Pasif berkata penjara tersebut dianggap moden ketika itu, kerana struktur dan sistem pentadbiran yang tersusun serta berorganisasi yang merupakan perubahan besar daripada bentuk penahanan tradisional sebelumnya.
“Mengikut rekod sejarah, sistem kepenjaraan moden Malaysia bermula dengan dua banduan dari India dibawa masuk ke sini, sebelum penempatan diperluaskan dengan kehadiran banduan dari Sumatera bagi membantu pembinaan penjara dan infrastruktur sokongan di Pulau Pinang.
“Dua lelaki tersebut, Eyeno Deen Sheikdan (Ainuddin Sheidan) dan Mohamed Heiant dibawa dari Bengal, India ke Pulau Pinang oleh British, menjadikan mereka banduan pertama di Malaysia, sekali gus menandakan kewujudan penjara moden di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Abd Rauf berkata mereka yang dibawa masuk, digunakan sebagai buruh murahan untuk membina infrastruktur penjara dan bagi melaksanakan kegiatan ekonomi bersesuaian, sebelum kepadatan banduan menyebabkan sebuah lagi penjara dibina di Chowrasta Lines dan dinamakan Penang Gold.
Penang Gold beroperasi pada 1849 masih kekal digunakan sehingga sekarang, namun kini dikenali sebagai Penjara Reman Pulau Pinang.
Beliau berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Penjara ke-235 pada 17 Mei, antara lain disebabkan penjara moden bermula di negeri itu, selain bersesuai dengan tema sambutan iaitu Peradaban Manusiawi Perkukuh Masyarakat MADANI.
“Kami bawakan evolusi penjara sejak 235 tahun lepas hingga sekarang, supaya orang ramai tahu mengenainya. Inilah keistimewaan sambutan tahun ini,” katanya.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dijadual merasmikan sambutan itu, yang juga akan dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Abd Rauf berkata antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah segmen drama pentomin berteknologi tinggi menggunakan kecerdasan buatan (AI), bagi memaparkan perjalanan institusi penjara sejak 1790 hingga ke era moden.
Sambutan itu bukan sekadar menghargai sejarah, tetapi juga menyerlahkan transformasi institusi penjara dalam memainkan peranan besar membentuk masyarakat MADANI, melalui pendekatan pemulihan lebih holistik dan berperikemanusiaan.
“Sekarang ini, kebanyakan penjara dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan moden, contohnya Penjara Seberang Perai di Jawi mempunyai sistem keselamatan elektronik dan dibina lebih kepada penjara sukan, kerana dilengkapi program sukan serta fasiliti seperti dewan serbaguna untuk permainan bersesuaian.
“Penghuni di situ dibenarkan menggunakan fasiliti sukan tersebut, selain turut dilengkapi bengkel menenun songket dengan elemen Pulau Mutiara, membuat biskut dan kek serta sos cili,” katanya.
Abd Rauf berkata Karnival Infokraf Jabatan Penjara Malaysia berlangsung bermula hari ini hingga Ahad di Esplanade, Padang Kota Lama di sini, dengan pelbagai barangan dihasilkan di penjara daripada seluruh negara seperti tenunan, hasil kraftangan, makanan sejuk beku dan kimpalan besi yang ditawarkan pada harga berpatutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial