AM > BERITA

Peniaga Tradisional Guna TikTok Shop Untuk Gabungkan Perniagaan Fizikal Dan Digital

16/05/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta jenama tempatan dalam sektor peruncitan Malaysia, kini telah pun berhenti berdebat mengenai keperluan pendigitalan dan sebaliknya kebanyakan mereka aktif menggabungkan strategi jualan secara dalam talian dan luar talian, untuk memacu pertumbuhan jangka panjang.

Daripada peniaga pasar malam dan gerai tepi jalan hinggalah ke kedai keluarga dan di pusat beli-belah, perbincangan telah berubah daripada memilih antara e-dagang atau kedai fizikal, kepada mengoptimumkan pertumbuhan dengan menggabungkan kedua-duanya - iaitu clicks bersama bricks.

TikTok Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa peralihan itu, dipacu sokongan awam-swasta yang semakin meningkat terhadap transformasi digital serta infrastruktur Internet negara yang menyeluruh, sekali gus megurangkan halangan penyertaan perniagaan pelbagai saiz ke ekonomi digital.

Banyak usahawan PMKS berjaya memanfaatkan kandungan dan perdagangan dalam talian melalui ekosistem penuh TikTok Shop, untuk menjana aliran pendapatan baharu, meningkatkan kunjungan ke premis fizikal, serta memperkukuh interaksi dengan pelanggan.

Antara kisah kejayaan itu ialah Al-Cataly iaitu jenama patuh Syariah yang mengkhusus kepada pakaian mesra solat serta kelengkapan Haji dan Umrah.

Diasaskan bersama oleh Nik Nur Adzuan, perniagaan itu sejak ditubuhkan pada 2014 beroperasi sepenuhnya daripada sebuah kedai fizikal di Kota Damansara, Selangor dan menghadapi kesukaran untuk berkembang melangkaui lokasi itu.

“Menjalankan perniagaan secara luar talian sepenuhnya, mengehadkan pertumbuhan sekitar lokasi kami. Untuk berkembang memerlukan modal besar bagi deposit, pengubahsuaian, inventori, kakitangan dan utiliti,” kata Nik Nur dan menambah bahawa permintaan terhadap produk mereka memuncak semasa musim cuti sekolah dan musim ibadah, namun menurun pada waktu-waktu lain.

“Untuk menjana pendapatan yang konsisten dan mengurangkan kos operasi, kami mula berniaga dalam talian melalui TikTok Shop,” katanya dan menambah bahawa TikTok Shop LIVE Hub x TEKUN Nasional di Kuala Lumpur, telah memberi mereka akses kepada latihan dan peralatan siaran langsung bertaraf studio.

“Dalam tempoh dua bulan sahaja, kami memperoleh hampir 10,000 pengikut dan mencatat peningkatan jualan sebanyak 12 kali ganda. Ia juga membantu menarik pelanggan ke kedai fizikal kami, termasuk dari seluruh negara dan juga Singapura,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman pengasas kepada perniagaan durian tempatan Pak Ali, berkongsikan pengalaman yang serupa. Bermula dengan gerai tepi jalan pada tahun 2017, perniagaan itu menghadapi jualan yang tidak menentu akibat faktor cuaca dan aliran pelanggan yang berubah-ubah.

Untuk menghadapi cabaran yang dibawa pandemik COVID-19, Pak Ali beralih kepada TikTok Shop untuk membina pangkalan pelanggan yang lebih stabil dan boleh berkembang, dengan memanfaatkan siaran langsung bagi menampilkan kesegaran durian mereka secara masa nyata, untuk membina kepercayaan dan meningkatkan jualan dalam talian.

Kamarul berkata beralih ke platform dalam talian, bukan sahaja membantu mereka menjangkau pasaran yang lebih luas, malah mengukuhkan kesetiaan dalam kalangan pelanggan gerai fizikal mereka dan ramai menjadi pengikut dalam talian dan terus membuat pesanan melalui siaran langsung serta video interaktif.

Hari ini, Pak Ali merupakan jenama durian yang dikenali ramai dengan lebih 24,000 pengikut di TikTok Shop, menjual purata 1,500 kilogram durian setiap hari dan telah berkembang ke katering acara juga.

Sementara itu, Frisha Fazara Ishak yang menguruskan Frisha Classic Desserts and Bakery bersama ahli keluarganya, menekankan bagaimana pendigitalan telah mengubah perniagaan keluarganya yang berusia 34 tahun selepas diasaskan ibu bapanya pada 1990.

Disebabkan kekangan kewangan, mereka beroperasi tanpa kedai kekal dan hanya bergantung kepada gerai sementara di bazar serta promosi daripada mulut ke mulut. Namun, menerusi siaran langsung dan video jualan interaktif, mereka berjaya beralih daripada jualan bermusim kepada menjana pendapatan bulanan lima angka secara konsisten.

“Dengan lebih 4,300 pengikut di TikTok Shop, kami telah membina pangkalan pelanggan yang setia secara dalam talian dan luar talian. Ada juga pelanggan yang menjemput kami membuka gerai di program mereka. Kami amat bersyukur atas sokongan dan peluang yang diberikan oleh TikTok Shop,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan