POLITIK > BERITA

PKR FOKUS PERKUKUH JENTERA, SASAR KERUSI PARLIMEN LEBIH BANYAK - NIK NAZMI

17/05/2025 01:31 PM

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan barisan kepimpinan terbaik serta strategi realistik untuk memperkukuh jentera pilihan raya dalam usaha menambah jumlah kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata keyakinan terhadap kemampuan parti untuk melonjak ke tahap lebih tinggi dapat dicapai sekiranya kombinasi kepimpinan yang betul dapat digerakkan bersama tokoh-tokoh utama parti.

“Kita perlukan tokoh-tokoh yang terbaik untuk memantapkan jentera pilihan raya kita. Insya-Allah, kalau kena pada gaya kali ini, kita dapat pergi ke tahap yang seterusnya,” kata Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Zon Kelantan dan Terengganu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, di sini malam tadi.

Nik Nazmi berkata walaupun ada pihak menyasarkan kemenangan besar mencecah 80 hingga 90 kerusi Parlimen, PKR perlu berlandaskan kepada realiti semasa, iaitu memiliki hanya 30 kerusi ketika ini dengan pencapaian terbaik parti setakat ini ialah 47 kerusi.

“Kita kena tengok secara realistik. Daripada 30 kerusi sekarang, nak pergi ke mana? Apa sasaran yang betul dan bagaimana strategi untuk bawa kita ke situ?

“Saya yakin, insya-Allah kalau kita ada kombinasi kepimpinan yang betul, kita akan dapat melakar strategi berkenaan,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan penting Kelantan dalam membantu menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi Parlimen untuk PKR dan Pakatan Harapan secara keseluruhan.

“Kalau kita nak sampai 50 kerusi ke atas, mahu tidak mahu Kelantan perlu menyumbang kepada kerusi Parlimen untuk Keadilan dan Pakatan Harapan.

“Kelantan tidak boleh tertinggal dan saya rasa masanya sudah tiba. Kesedaran sudah ada, masanya sudah tepat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan