AM > BERITA

Rakan Bantu Pegang Anak OKU Sarjan Roslan Kongsi Detik Hiba Di Sisi Jenazah

16/05/2025 10:04 AM

IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang juga merupakan rakan baik Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Teluk Intan Selasa lalu berkata dia tidak dapat menahan tangisan sebaik membuka kain kafan arwah pada upacara penghormatan terakhir.

Koperal Mohd Shaukar Ishak, 36, berkata apatah lagi sewaktu itu dia sedang memegang anak sulung Allahyarham Muhd Raqin Najmi, 13, yang menghidap sindrom down, hatinya bertambah hiba.

“Saya tak dapat menahan tangisan, saya rasa apa yang dirasakan oleh kakak Aini (isteri arwah, Nur Aini Samiun) itu turut saya rasai kerana saya baru juga baru kehilangan ibu saya. Jadi saya menangis semahunya sebaik melihat wajah arwah, selepas membantu waris arwah membuka kain kafannya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Gambar Mohd Shaukar sedang menangis sambil memegang Muhd Raqin Najmi di sisi keranda Allahyarham Mohd Roslan sewaktu upacara penghomatan terakhir selepas solat jenazah di Surau Al-Mustakim di FRU Unit 5, Sungai Senam, malam Selasa, lalu viral di media sosial.

Gambar yang dibidik jurukamera Bernama Biro Perak itu Zulfadhli Zulkarnain itu, terlebih dahulu dikongsi dalam di laman Facebook rasmi Bernama sebelum dikongsi semula 1, 200 kali dan mendapat 13,000 tanda suka serta ratusan komen.

Mohd Shaukar berkata pada ketika itu dia hanya berniat membantu isteri Allahyarham kerana melihat Nur Aini terlalu penat dan dia menawarkan diri membantu membawa Muhd Raqin Najmi mendekati jenazah bapanya.

Menyentuh mengenai perhubungan dengan Allahyarham, Mohd Saukar yang berasal dari Alor Setar berkata dia telah tujuh tahun mengenali arwah dan agak rapat sebagai rakan sekerja.

“Kami juga berkongsi hobi iaitu menyertai aktiviti larian bersama beberapa anggota yang lain, arwah memang seorang yang baik, suka bergurau dan amat rapat dengan anak-anaknya.

“Alhamdulilah, sewaktu melihat wajahnya malam itu, wajahnya bersih,” katanya.

Sementara itu, Nur Aini berkata sejak semalam anak sulungnya yang dipanggil Najmi itu keluar ke laman rumah menuju ke kereta arwah bagaikan mencari bapanya.

Beliau berkata Najmi amat rapat dengan bapanya dan akan tidur bersama setiap malam.

“Kami sama-sama menjaga Najmi serta dua anak kami, dia memang penyabar dengan anak-anak”, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan