AM > BERITA

Anugerah Hari Guru Pacu Mutu Pendidikan Negara

16/05/2025 09:18 AM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Anugerah sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-54 bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi menjadi langkah konkrit dalam memartabatkan mutu pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sebarang perubahan besar dalam pendidikan, bermula daripada unit paling asas iaitu bilik darjah iaitu tempat guru dan murid berinteraksi setiap hari, mencorak hala tuju pembelajaran sebenar.

“Apabila kita membicarakan tentang reformasi sekolah, tiada tempat lain yang lebih sesuai dan memberikan kesan langsung kepada pendidikan anak-anak, melainkan di dalam kelas masing-masing.

“Terima kasih cikgu-cikgu sekalian, kerana terus komited dalam mendidik dengan hati yang luhur. Semoga usaha ini menjadi asas kukuh dalam melonjakkan kualiti pendidikan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan tersebut di sini, hari ini.

Fadhlina berkata majlis itu bukan sekadar simbolik, tetapi turut mengiktiraf guru cemerlang yang berjaya melaksanakan pembaharuan berimpak dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Saya tekuni setiap pencalonan. Ada anugerah yang saya sendiri minta untuk ditambah, kerana saya merasakan guru-guru ini wajib kita hargai.

“Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain, dan usaha ini akan terus kita perkasakan,” katanya.

Pada majlis itu, para penerima bagi Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Khas Bitara Bahasa serta Anugerah Khas Menteri Pendidikan masing-masing menerima sijil, plak penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3000, RM1000 dan RM500 mengikut kategori.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan