AM > BERITA

Festival Nyamai 2025 Edisi Hari Sarawak Sasar Tarik 20,000 Pengunjung

17/05/2025 06:36 PM

KUCHING, 17 Mei (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Sarawak pada tahun ini, Festival Nyamai 2025: Edisi Hari Sarawak akan berlangsung selama dua hari dari 26 hingga 27 Julai depan di Kampung Budaya Sarawak di Santubong.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata festival itu, anjuran Persatuan Gastronomi Sarawak, menyasarkan untuk menarik 20,000 pengunjung dan 200 peniaga.

“Bagi edisi ketiga festival itu tahun ini, kami perlu menyuntik lebih banyak kreativiti terutama lebih ramai orang dari pelbagai industri kerana kami tidak mahu melihat orang yang sama mengambil bahagian khususnya pada acara yang membabitkan makanan.

“Kami ingin melihat kreativiti dalam kalangan belia iaitu menggunakan bahan mentah seperti buluh dan dedaun hijau lain yang boleh dijadikan produk berguna…. contohnya, daun yang boleh dimakan digunakan oleh orang ramai bagi menjaga kesihatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Meskipun pada asalnya diwujudkan sebagai sambutan yang memfokus kepada gastronomi, festival itu telah berkembang sebagai platform yang menyatukan penduduk Sarawak dan pengunjung melalui makanan, budaya dan inovasi.

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata festival itu menawarkan platform kepada perniagaan untuk berinteraksi dengan khalayak secara meluas dan pada masa sama mengambil bahagian dalam satu daripada acara paling penting di Sarawak.

Beliau berkata selain masuk adalah percuma, festival itu memberi peluang kepada orang ramai untuk berkumpul dan mencipta kenangan indah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan