AM > BERITA

MITRA Terus Perkasa Ekonomi Masyarakat India Melalui Penganjuran MIIP

17/05/2025 08:20 PM

BUTTERWORTH, 17 Mei (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dengan kerjasama Bursa Malaysia, menganjurkan Program Pelaburan India Malaysia (MIIP) 2024/2025 sebagai inisiatif memperkasa penyertaan masyarakat itu khususnya golongan belia dalam bidang pelaburan dan pasaran saham.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata dalam era digital ketika ini, penganjuran program seperti itu dilihat penting kerana menjadi satu-satunya platform bagi meningkatkan tahap celik pelaburan komuniti India seterusnya membantu menaik taraf tahap sosioekonomi mereka dalam pegangan ekuiti melalui pelaburan saham.

Beliau berkata statistik menunjukkan hanya sekitar tiga peratus daripada masyarakat India terlibat secara aktif dalam pelaburan iaitu satu angka yang kecil dan usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan peratusan itu.

“Antara faktor utama penyertaan yang rendah adalah persepsi negatif terhadap dunia pelaburan yang sering dikaitkan dengan penipuan serta pengalaman kurang menyenangkan dengan syarikat pelaburan yang gagal memberikan hasil selepas sesi latihan.

“Justeru, MIIP tampil sebagai penyelesaian yang sah dan berkualiti dengan kerjasama langsung bersama Bursa Malaysia yang menyediakan bimbingan dan latihan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program itu peringkat Zon Utara di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah MITRA G. Prabagaran.

Prabakaran berkata melalui program itu, para belia juga berupaya memperkasakan diri dengan kemahiran pelaburan, mendapat pendedahan kepada mekanisme pasaran saham dan mengenal pasti strategi pelaburan yang sesuai berdasarkan matlamat kewangan individu. 

Berbekalkan bimbingan pakar pelaburan, beliau berkata peserta juga dapat menimba ilmu dan membina keyakinan apabila melibatkan diri dalam pelaburan saham atau menceburi kerjaya dalam bidang kewangan serta pelaburan.

Beliau berkata penganjuran MIIP dibuat mengikut zon iaitu Zon Tengah (Kuala Lumpur), Zon Utara (Pulau Pinang) dan Zon Selatan (Johor Bahru) dengan peserta diberikan penempatan pekerjaan dalam sektor pelaburan kewangan.

“Fokus tertumpu kepada aspek teknikal pelaburan termasuk dagangan saham secara dalam talian, analisis pasaran dan strategi pelaburan berhemah,” katanya.

Prabakaran berkata Karnival Saham MITRA turut dirancang diadakan di Sungai Petani, Kedah pada Jun ini sebagai pusat sehenti yang menyatukan pelbagai agensi kerajaan termasuk TEKUN Nasional di samping menyediakan peluang kepada masyarakat India untuk mendapatkan ilmu pelaburan secara percuma.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan