AM > BERITA

Kukuh Institusi Keluarga Demi Pembangunan Negara - Dr Wan Azizah

18/05/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Institusi keluarga yang menjadi asas terpenting pembangunan negara perlu terus diperkukuh melalui dasar berorientasikan keluarga yang mampan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata nilai kekeluargaan yang semakin terhakis harus dikembalikan demi memastikan kelestarian sosial dan pembangunan insan holistik.

“Dunia kini menyaksikan institusi keluarga semakin kecil, daripada keluarga besar kepada ‘keluarga nuklear’. Keakraban dan semangat kejiranan juga semakin luntur. 

“Inilah sebabnya kita perlu kembali menghidupkan semangat kekeluargaan dan keluarga besar itu. Dasar-dasar negara perlu sentiasa meletakkan institusi keluarga sebagai asas utama pembangunan,” katanya pada Program Hari Keluarga Parlimen Bandar Tun Razak sempena Sambutan Hari Ibu di Taman Tasik Permaisuri di sini hari ini.

Mengenai tema global sambutan Hari Keluarga Antarabangsa, iaitu Dasar Berorientasikan Keluarga untuk Pembangunan Lestari, beliau berkata ia selari dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan keluarga sebagai asas masyarakat yang stabil, inklusif, dan sejahtera. 

“Menerusi Malaysia MADANI, kita lihat kepentingan pembangunan modal insan, itu yang paling penting (iaitu) mengukuhkan keluarga, dan masyarakat serta bukan hanya (berpaksikan) pembangunan fiskal semata-mata,” katanya. 

Dr Wan Azizah turut menekankan supaya dasar dan inisiatif memperkasakan wanita dan ibu seperti Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu diperluas, termasuk latihan keusahawanan, bantuan penjagaan kesihatan, galakan kepada penyertaan wanita dalam ekonomi gig serta subsidi bagi saringan HPV dan mamogram.

Lebih 500 keluarga hadir pada program sambutan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dengan pelbagai aktiviti disediakan termasuk zumba, saringan kesihatan percuma, saringan kanser reproduktif wanita dan pertandingan memasak.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Timbalan Pengerusi LPPKN Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan