AM > BERITA

Kebakaran Sisa: Ancaman Senyap Yang Menguji Keupayaan JBPM

18/05/2025 06:05 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Kebakaran sisa tidak boleh dilihat sebagai isu kebakaran biasa semata-mata kerana boleh mengundang risiko masalah kesihatan atau kehilangan nyawa, justeru ia disifatkan sebagai operasi pemadaman yang mencabar keupayaan pasukan penyelamat, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Hal ini kerana di sebalik kebakaran itu, terdapat api yang masih membara perlahan-lahan di celah timbunan tayar dan plastik lusuh, menghasilkan asap tebal dan kekal menjadi ancaman kepada pasukan penyelamat dan penduduk sekitar.

Apatah lagi sekiranya kebakaran itu melibatkan sisa buangan yang menghasilkan racun dan toksik apabila terbakar yang boleh menyebabkan seseorang yang menghidu asap berkenaan berasa pening, loya, muntah, malah boleh memberikan kesan kesihatan jangka panjang.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata kebakaran itu isu sistemik yang melibatkan pelbagai kategori sisa dan setiap satunya berada di bawah seliaan agensi berbeza seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), SWCorp dan pihak berkuasa tempatan.

"Empat kategori sisa utama dikenal pasti ialah sisa kumbahan, sisa pepejal (merangkumi sisa domestik dan terjadual), sisa radioaktif dan sisa kimia. Bomba akan terlibat apabila api menyala dan nyawa diancam, tetapi sebelum dan selepas kebakaran, agensi lain perlu ambil tempat," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20, kejadian bencana akibat kemalangan kimia, radiologi dan nuklear serta bahan-bahan berbahaya dikendalikan oleh JBPM sebagai agensi penyelamat manakala AELB bertanggungjawab sebagai agensi peneraju dalam memberikan khidmat kepakaran dan teknikal dalam pengurusan bencana radiologi dan nuklear.

Farhan Sufyan berkata menurut statistik JBPM Kelantan, sebanyak 207 daripada 1,827 kes kebakaran terbuka yang direkodkan pada tahun lepas melibatkan tapak pengumpulan sampah, yang menyimpan risiko besar apabila bahan buangan tidak ditapis dan dibiarkan bertimbun.

"Kita bercakap tentang smouldering fire atau api yang membara secara perlahan-lahan di bawah timbunan sampah. Ia sukar dikesan secara visual, tetapi boleh merebak tanpa amaran, itulah yang paling bahaya," katanya.

Beliau berkata memadam api jenis ini bukanlah kerja mudah kerana ia memerlukan kerja bongkar-padam menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan bekalan air yang banyak.

"Kadangkala, operasi relay pumping dari sungai berdekatan menjadi satu-satunya pilihan. Masalahnya, jentera berat itu bukan milik JBPM dan kita perlu meminta bantuan daripada agensi lain," katanya.

Farhan Sufyan berkata menurut protokol operasi JBPM, pasukan penyelamat akan terlibat sepenuhnya dalam operasi pemadaman bagi tempoh 48 jam pertama, selepas itu kawalan akan dipulangkan kepada pihak berkuasa tempatan atau ejen yang dilantik.

Beliau berkata sekiranya api masih marak selepas tempoh itu, bantuan tambahan daripada JBPM akan hanya diberikan secara berbayar melainkan insiden terbabit mengancam nyawa orang awam.

"Ramai yang tidak tahu tentang perkara ini, bomba bukan jentera percuma … ada had, ada struktur perundangan, namun apabila nyawa menjadi taruhan pasukan akan bertindak tanpa berkira," katanya.

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) katanya, akan dikerahkan sekiranya kebakaran melibatkan sisa buangan toksik dan mengandungi bahan berbahaya.

"Kebakaran sisa bukan hanya cerita api, ia tentang asap dan racun yang terkandung di dalamnya … jika terlalu toksik, kita perlu bawa masuk unit Hazmat.

"Di Kelantan, pasukan Hazmat tersedia dan akan digerakkan sekiranya tahap bahaya dinilai melepasi paras biasa. Penilaian dibuat di lokasi berdasarkan pemantauan awal," katanya.

Farhan Sufyan turut mengimbas tragedi Pasir Gudang di Johor yang berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim pada 2019 yang mengeluarkan asap toksik sehingga menjejaskan beribu-ribu mangsa dan sekolah berdekatan turut ditutup.

"Insiden itu mencetuskan krisis kesihatan yang menjejaskan lebih 2,000 pelajar dan menutup puluhan sekolah. Kejadian di Pasir Gudang harus dijadikan peringatan kolektif terhadap bahaya sebenar sisa buangan, ia menjadi contoh bahawa pengurusan sisa dan kesiapsiagaan respons mesti berjalan seiiring," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan