AM > BERITA

NUSUK-Pilgrim Gift Expo Beri Nilai Tambah Pengalaman Jemaah Haji Malaysia

19/05/2025 09:46 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 19 Mei (Bernama) -- Di samping beribadah, jemaah haji Malaysia kini berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya dan sosioekonomi masyarakat tempatan di sini, menerusi ekspo perniagaan NUSUK-Pilgrim Gift Expo sepanjang keberadaan mereka di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata menerusi ekspo itu, jemaah haji juga dapat menambah pengetahuan mengenai peranan syarikat tempatan, termasuk penyedia barangan dan perkhidmatan khusus untuk jemaah haji.

“Program ini merupakan antara aktiviti bermanfaat untuk para jemaah kita melihat serta memahami budaya dan aktiviti perniagaan masyarakat Arab di sini.

“Ia sekali gus dapat memperkaya pengalaman dan pengetahuan jemaah berkaitan kehidupan serta ekonomi setempat di Makkah,” katanya kepada media semasa lawatan ke ekspo berkenaan, di sini semalam.

Beliau berkata bagi mempermudah jemaah mengunjungi ekspo itu, Syarikat Musbah menyediakan beberapa buah bas bagi urusan pengangkutan pergi dan balik dari hotel penginapan mereka di Makkah.

“Waktu perjalanan dijadualkan selepas solat Zohor, bagi memberi ruang kepada jemaah untuk berkunjung tanpa mengganggu jadual ibadah mereka.

“Tabung Haji (TH) akan aturkan bas untuk memudahkan perjalanan jemaah ke ekspo, sekali gus jemaah dapat melihat sendiri budaya perniagaan masyarakat Arab, selain menambah pengetahuan sepanjang keberadaan mereka di sini,” katanya.

Seorang jemaah haji Rahmah Ibrahim, 66, berkata harga barangan yang ditawarkan di ekspo tersebut sangat berpatutan, dan berharap agar program itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat jemaah.

“Saya lihat ekspo ini bukan sekadar mempromosikan produk PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), tetapi kualiti produk yang dipamerkan sangat baik. Persekitaran ekspo juga sangat selesa, layanan mesra dan perkhidmatan pelanggan amat memuaskan,” katanya.

Ekspo anjuran Makkah Chamber of Commerce itu berlangsung dari 15 hingga 19 Mei, bermula 10 pagi hingga 11 malam, di Exhibitions and Conferences Centre-Makkah Chamber of Commerce, di sini, melibatkan penyertaan 68 pempamer dari seluruh Arab Saudi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan