AM > BERITA

Anak Penuhi Hasrat Ibu Tunaikan Haji

19/05/2025 12:07 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 19 Mei (Bernama) -- “Mak, jangan risau, adik ada di sini. Adik akan pastikan mak dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.”

Itu janji pembantu tadbir Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Mohd Rodzi Che Noh, 38, anak bongsu daripada tujuh beradik, yang menjadi pengiring kepada ibunya Sofiah Talib, 76, di Tanah Suci demi memenuhi hasrat wanita itu untuk menunaikan haji.

Berbekalkan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai anak, lelaki dari Alor Setar itu tidak ragu-ragu untuk menyahut seruan haji bersama ibunya, meskipun terpaksa meninggalkan urusan peribadi demi memastikan ibunya dapat menunaikan rukun Islam kelima, dengan tenang dan sempurna.

“Sebagai seorang anak, sudah tentu kita ada rasa tanggungjawab dan sifat ingin membantu ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila mereka mahu menunaikan hasrat yang lama terpendam. Apa impian mak, saya cuba penuhi. 

“Ini cara saya membalas jasa mak membesarkan kami dengan penuh kasih sayang dan tanpa pernah merungut. Tak mampu saya gambarkan dengan kata-kata dan ini juga impian saya iaitu memastikan mak menunaikan haji dengan sempurna,” katanya.

Mohd Rodzi berkata meskipun pergerakan ibunya terbatas disebabkan faktor usia, beliau tidak pernah jemu membantu insan kesayangannya menunaikan ibadah dengan sempurna, kerana pengorbanan wanita itu membesarkan mereka adik-beradik tanpa mengeluh.

“Mak kuat semangat dan sudah menyimpan wang untuk menunaikan haji sejak berusia 45 tahun. Mak suri rumah, jadi dia menabung duit bendang diusahakan ayah sedikit demi sedikit,” katanya.

Mohd Rodzi berkata arwah bapanya sepatutnya menjadi pengiring, bagaimanapun meninggal dunia pada 2023, menjadikan dirinya sebagai satu-satunya harapan untuk menemani ibu yang merupakan bekas pesakit kanser payudara tahap dua.

Sementara itu, Sofiah bersyukur kerana impian mahu menunaikan haji sejak bertahun-tahun lepas kini menjadi kenyataan, selepas dirinya menerima khabar gembira bebas daripada kanser pada 2021.

“Alhamdulillah, seronok bila ada peneman. Kalau bersendirian, saya rasa tak mampu untuk datang tunaikan haji sebab saya memang tidak biasa seorang diri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan