AM > BERITA

Aksi Udara TUDM Gamatkan Pembukaan Rasmi LIMA’25 Hari Ini

20/05/2025 10:53 AM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Persembahan udara mengagumkan yang dimulakan dengan kemunculan tiga pesawat F/A-18D Hornet dan tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka tirai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) hari ini.

Majlis perasmian pembukaan pameran dan Opening Gambit TUDM itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Aksi pembukaan mengagumkan itu diserikan lagi dengan pertunjukan formasi udara serta aerobatik melibatkan keseluruhan 25 aset udara antaranya enam pesawat latihan Pilatus PC-7 MK II, dua pesawat angkut A400M, tiga pesawat C130H dan lapan helikopter pelbagai jenis iaitu EC-725, AW-139 dan EC120B.

Persembahan mengujakan itu berlangsung di ruang udara Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, disaksikan ribuan pengunjung termasuk delegasi tempatan dan antarabangsa serta orang ramai di sekitar pusat pameran.

Turut hadir menyaksikan majlis pembukaan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar.

LIMA'25 yang memasuki edisi ke-17, menghimpunkan 860 pempamer dari 24 negara terdiri daripada 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan.

Pameran yang berlangsung selama lima hari hingga 24 Mei ini adalah platform bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pertahanan dan aeroangkasa serantau.

LIMA’25 anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) turut memberi penekanan terhadap inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Bertemakan "Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan", pameran kali ini merupakan yang terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan