AM > BERITA

2 MoU Bakal Pacu Pembangunan Maritim, Aeroangkasa Di Melaka

20/05/2025 07:30 PM

MELAKA, 20 Mei (Bernama) -- Dua memorandum persefaham (MoU) yang dimeterai Kerajaan Negeri Melaka bakal memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab pembangunan industri strategik dalam sektor maritim dan aeroangkasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dua perjanjian itu membabitkan Zon Ekonomi Selat Melaka (SM-WEZ) Corporation dengan Henry the Black Shipyard Sdn Bhd bagi pembangunan Limbungan Enrique of Malacca, dan Weststar Aviation Sdn Bhd bagi pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Beliau berkata projek limbungan berkenaan lambang komitmen kerajaan negeri dalam memacu pembangunan berimpak tinggi melalui inisiatif projek “Future Maritime City”.

"Transformasi strategik ini merangkumi pelabuhan baharu, jeti terminal kapal layar, sektor perindustrian berteknologi tinggi, aktiviti pelancongan komersial, seperti chalet terapung dan marina serta lokasi pembuatan, pembaikan dan perkhidmatan kapal di tanah seluas 17 hektar dalam zon ekonomi khas SM-WEZ dengan kos RM180juta.

"Untuk itu, kita mempunyai keyakinan syarikat Henry the Black Shipyard mempunyai kepakaran, tenaga kerja dan berpengalaman luas dalam bidang maritim, terutama berkaitan operasi limbungan kapal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU berkenaan diadakan di Langkawi dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusoh. 

Turut hadir Duta Besar Itali ke Malaysia Massimo Rustico dan Pengerusi Weststar Aviation Sdn Bhd Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim. 

Ab Rauf berkata syarikat itu turut menjalin kerjasama strategik dengan Desan Deniz, sebuah syarikat perkapalan terkemuka dari Istanbul, Turkiye yang berpengalaman selama 47 tahun dalam indsutri maritim global. 

Beliau berkata projek pembinaan limbungan kapal itu juga akan dijenamakan sempena pelayar Melayu terkemuka yang mengelilingi dunia, iaitu Panglima Awang yang lebih dikenali sebagai Enrique of Malacca

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di LTAM pula akan merangkumi tiga komponen utama, iaitu Pusat Latihan Penerbangan Helikopter, Hab Penyelenggaraan Helikopter (MRO) dan Hab Logistik Helikopter sekali gus akan memposisikan Melaka sebagai hab helikopter terbesar di Asia Tenggara. 

Beliau berkata pihak Weststar menyatakan minat terhadap kawasan seluas tujuh hektar di LTAM susulan lawatan tapak yang dilakukan pada 15 April lepas dan kini sudah memasuki proses penilaian teknikal. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan