KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Untuk Ibu Bapa di Penampang, Sabah bagi membincangkan isu sosial remaja yang semakin membimbangkan.
Forum yang diadakan pada Ahad lepas itu memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada ibu bapa sebagai usaha meningkatkan jati diri remaja dalam menjaga harga diri dan maruah bangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perbincangan mengenai kesihatan reproduktif dan sosial tidak seharusnya dianggap tabu atau sensitif kerana topik itu menimbulkan rasa ingin tahu dan ingin cuba dalam kalangan remaja.
“Pada masa ini, isu pergaulan bebas tanpa mengira jantina yang menular dalam kalangan remaja kita merupakan isu yang perlu kita tangani. Antara faktor kepada berlakunya perkara ini ialah kerana kurangnya didikan agama serta kurangnya maklumat kesihatan reproduktif dan sosial diterapkan bermula dari rumah,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM Farah Adura Hamidi pada majlis perasmian Forum PEKERTI.
Menurut Nancy, isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja juga kini semakin membimbangkan susulan statistik Kementerian Kesihatan mencatatkan sebanyak 17,646 kes remaja hamil luar nikah didaftarkan antara 2019 hingga 2023 daripada 44,263 remaja yang hamil di Malaysia dalam tempoh sama.
“Data juga menunjukkan sebanyak 1,816 remaja kes kehamilan luar nikah direkodkan di Sabah dari 2019 hingga 2023,” katanya.
Nancy berkata sehubungan itu KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah membangunkan beberapa modul dalam menyebarluaskan maklumat PEKERTI kepada kumpulan sasar antaranya Modul ACE - Accurate, Comprehensive and Effective (Tepat, Komprehensif dan Berkesan) yang mengambil kira isu seksual terkini di peringkat global dan nasional termasuk isu berkaitan perundangan dalam keganasan seksual dan pemerdagangan seksual.
Selain itu katanya Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial khas untuk remaja lelaki berumur 16 tahun ke atas turut dibangunkan bagi meningkatkan sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan kumpulan itu pada peringkat lewat remaja dan awal dewasa.
“LPPKN juga memperkenalkan Modul Cakna Diri – Edisi Ibu Bapa supaya ibu bapa mempunyai peranan dalam memberi pendidikan kesihatan reproduktif dan seksualiti.
“Modul ini dapat memberi panduan serta mempertingkatkan pengetahuan ibu bapa berhubung kesihatan reproduktif remaja dan kemahiran dalam memahami perkembangan fisiologi dan psikososial anak remaja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial