KOTA BHARU, 21 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang juga Penaung Diraja PPPM disambut Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.
Dalam titah perasmian, Raja Permaisuri Agong menzahirkan penghargaan kepada Wan Azizah atas usaha murni dan iltizam kepimpinan beliau yang dinamik serta sentiasa menekankan nilai inklusif serta perpaduan dalam kalangan ahli.
"Sebagai Penaung Diraja PPPM, saya berasa amat bangga dengan keteguhan semangat, iltizam dan pencapaian cemerlang persatuan ini.
"Saya diberitahu bahawa ulang tahun ke-109 tahun ini telah disambut meriah bermula dengan Program Camporee PPPM 109 bersamaan dengan Ulang Tahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri di Sabah yang telah diadakan pada Februari," titah Seri Paduka Baginda.
Turut berangkat Penaung Diraja PPPM Kelantan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Yang Dipertua PPPM Kelantan Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra dan Yang Dipertua PPPM Johor Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Raja Zarith Sofiah bertitah usia 109 tahun persatuan berkenaan mencerminkan kesinambungan perjalanan penuh makna dan dedikasi dalam usaha memperkasakan anak gadis Malaysia menjadi warga berilmu, berwibawa dan berakhlak mulia.
"Persatuan Pandu Puteri Malaysia bukan sahaja menjadi platform pembangunan diri tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyemai nilai perpaduan, empati dan kepedulian sosial.
"Dalam suasana dunia semakin mencabar, saya menyeru agar semangat perpaduan dalam persatuan ini terus diperkukuh dan diperluas kepada seluruh masyarakat demi kestabilan dan kemajuan negara yang kita cintai," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan anak gadis yang giat berkecimpung dalam persatuan itu.
Raja Zarith Sofiah bertitah kejayaan penerima Anugerah Pandu Puteri Raja adalah bukti kepada kecemerlangan dan Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua yang menerima pengiktirafan tertinggi tersebut.
Seri Paduka Baginda amat berharap semua ahli dapat menguasai kemahiran digital serta bijaksana dalam menggunakan teknologi untuk manfaat diri, komuniti dan negara.
"Dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas, dengan kemajuan teknologi berkembang begitu pesat. Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.
"Saya percaya bahawa anak gadis yang berada dalam persatuan ini akan dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa sama kekal beretika serta berjiwa insan," titah Raja Zarith Sofiah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial