AM > BERITA

PAVAC Giat Perkasa Objektif NLHI, Fokus Pendidikan Kesihatan Masyarakat

21/05/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok dan Vape Kuala Lumpur (PAVAC) kini giat memperhebatkan usaha menyampaikan objektif Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia (NLHI) bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Pengasas PAVAC Rashdan Rashid berkata usaha tersebut memberi tumpuan kepada dua kumpulan utama, iaitu pelajar dan ibu bapa, melalui pelaksanaan pelbagai program advokasi serta pendidikan secara langsung di sekolah, institusi pengajian tinggi, dan komuniti setempat.

“Program ini menggunakan pendekatan berasaskan kelestarian, gaya hidup sihat dan pendidikan pencegahan, yang turut diintegrasikan dengan aktiviti seni, sukan dan alam sekitar dengan menjadikan mesej pencegahan lebih dekat di hati golongan muda.

“Kita mahu masyarakat cakna kepentingan menjaga paru-paru kerana jika dilihat pesakit melibatkan paru-paru bukan saja yang sudah berumur tetapi seawal mereka yang berada di sekolah rendah,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio di sini, hari ini.

Beliau berkata PAVAC juga berfungsi sebagai platform bagi ibu bapa untuk menjadi sukarelawan komuniti sejajar dengan bantuan pakar dalam pelbagai bidang daripada institusi seperti Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, bagi memastikan kemenjadian anak-anak berlandaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Rashdan berkata NLHI adalah inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan objektif utama untuk memperkasa kesihatan paru-paru rakyat Malaysia melalui pendekatan pencegahan, pendidikan dan pengesanan awal penyakit respiratori.

“PAVAC yang ditubuhkan tahun lepas di bawah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bukan sahaja berperanan mendidik masyarakat tentang pencegahan penyalahgunaan dadah namun juga membantu KKM dalam menyampaikan objektif NLHI.

“Bezanya NLHI berbanding kempen vape dan rokok yang lain ialah ia menggunakan pendekatan menyeluruh dan strategik. NLHI bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi ia juga menyediakan penyelesaian berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), penglibatan komuniti secara aktif dan sokongan dasar awam,” katanya.

Beliau berkata antara program utama NLHI adalah National Tobacco Control Conference 2025 yang akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun, di Universiti Cyberjaya bersempena dengan Hari Bebas Tembakau Sedunia pada 31 Mei.

“Sepanjang tiga hari itu, pelbagai program penting akan berlangsung termasuk pelancaran maskot rasmi NLHI dan Tabung NLHI untuk sokongan aktiviti kesihatan komuniti, majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik NLHI serta kempen penanaman sejuta pokok Green Lung NLHI,” katanya.

Rashdan berkata NLHI juga akan dibentangkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHO) ke-78 (WHA78) di Geneva, Switzerland, yang kini sedang berlangsung selama sembilan hari bermula 19 Mei lepas.

Katanya pada sesi pembukaan perhimpunan itu, tiga tokoh negara menerima Anugerah Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025 daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi Wilayah Pasifik Barat iaitu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Noraryana Hassan dan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy.

“Penghargaan ini diberikan atas peranan penting mereka dalam menggubal dan melaksanakan Akta Pengawalan Produk Merokok bagi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang memperkukuh kawalan terhadap produk tembakau dan vape di Malaysia,” katanya.

Rashdan yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Permai, Ampang mencadangkan agar Bahagian Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit perlu mengenal pasti dan melibatkan ibu bapa di seluruh negara untuk bekerjasama dengan Pemadam Kebangsaan dalam mempromosi kesedaran tentang NLHI.

“Inisiatif ini bertujuan memudahkan penyampaian maklumat berkaitan usaha kerajaan serta menggemblengkan kerjasama di peringkat kebangsaan secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan