AM > BERITA

Sultan Nazrin: Tindakan Iklim Mesti Dilihat Melalui Lensa Maqasid Al-Syariah

30/09/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa kepimpinan berlandaskan pemikiran baharu serta penetapan hala tuju yang jelas amat diperlukan bagi menangani cabaran perubahan iklim dengan berkesan, dan setiap tindakan harus dilihat melalui lensa Maqasid al-Syariah.

Ketika menyampaikan ucapan khas sempena Persidangan Meja Bulat ke-16 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), baginda bertitah bahawa cabaran perubahan iklim menuntut penyelesaian yang berani, bersifat kolektif dan berteraskan inovasi.

“Keadaan kini amat kritikal... masa hampir tamat… dan lebih mengecewakan apabila kita tahu bahawa apabila kita bertindak dengan berani, pantas dan secara bersama, kita sebenarnya mampu membawa perubahan yang positif,” titah Sultan Nazrin dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Sultan Nazrin juga bertitah bahawa isu perubahan iklim tidak seharusnya dipolitikkan dan memberi amaran bahawa ketiadaan kesepakatan di peringkat global menjadi menghalang utama kepada pelaksanaan penyelesaian yang berkesan.

“Perubahan iklim sepatutnya berada di luar batas politik kepartian. Namun, ia kini seakan-akan menjadi bola sepak politik... Akibatnya, kita masih gagal mencapai kesepakatan global yang amat diperlukan," titah baginda.

Memetik ayat al-Quran dan Hadis, Sultah Nazrin bertitah mengingatkan para peserta bahawa manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah, iaitu penjaga dan pemelihara bumi ini.

“Hadis yang masyhur meriwayatkan: Bumi ini hijau dan indah, dan Allah telah melantik kamu sebagai penjaganya. Kita memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah untuk melindungi bumi dan segala isinya, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi masa depan… ia merupakan satu amanah suci agar bumi ini kekal hijau dan indah untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang," titah baginda. 

Menyentuh peranan sektor kewangan, Sultan Nazrin turut menekankan potensi besar kewangan Islam dalam menyokong inisiatif berkaitan perubahan iklim.

“Kini merupakan industri global bernilai USD5 trilion, sektor kewangan Islam yang terus berkembang mempunyai instrumen dan sumber yang diperlukan bagi menyokong pelaburan dalam tindakan menangani perubahan iklim,” titah baginda yang turut menghargai usaha Malaysia dalam merintis kerangka Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab.

Sultan Perak itu turut bertitah bahawa kira-kira USD15 bilion telah berjaya dikumpulkan secara global melalui penerbitan Sukuk Hijau pada tahun 2024 bagi membiayai pelbagai projek seperti ladang solar, sistem pengangkutan lestari dan program biodiversiti, dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf instrumen ini sebagai antara penyelesaian utama ke arah pembangunan mampan.

Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan inovasi dalam teknologi hijau.

“Kita perlu memastikan bahawa teknologi hijau yang dibangunkan benar-benar menyelesaikan masalah, dan bukan sekadar mengalih atau memindahkannya.

"Kita sudah menyaksikan panel solar dibuang secara membazir; ladang angin yang dibina mencemari laut dan bateri kenderaan elektrik menggunakan mineral nadir bumi yang diekstrak dalam keadaan yang merosakkan alam sekitar.

"Justeru, kita tidak boleh sesekali beranggapan bahawa apa yang telah kita lakukan sudah mencukupi," titah baginda.

Bertemakan Guardians of the Earth: Climate Action Through the Lens of Maqasid al-Shariah, persidangan meja bulat itu diadakan sempena ulang tahun ke-40 OCIS dan turut dihadiri oleh para kenamaan antarabangsa termasuk bekas Presiden Turkiye Dr Abdullah Gul dan bekas Perdana Menteri Kuwait Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan