PELABUHAN KLANG, 30 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini melancarkan Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) yang merupakan projek berimpak tinggi berasaskan gas asli di Pulau Indah, di sini.
Dimiliki dan dikendalikan oleh Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd sebuah usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO), loji itu menggunakan turbin gas GE 9HA.01 yang terkenal dengan kecekapan haba tinggi serta reka bentuk mesra hidrogen.
Dalam kenyataan media PIPP, anak syarikat di bawah WHB, memaklumkan loji berkenaan kini beroperasi sepenuhnya untuk membekalkan tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan lebih bersih ke grid nasional,
Menurut kenyataan itu fasiliti berkenaan merupakan satu daripada loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) paling moden di negara ini.
Dengan kapasiti 1,200 megawatt yang disalurkan ke grid nasional, PIPP menyokong lebih 40 peratus daripada kegunaan tenaga elektrik di Lembah Klang, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Dibina di atas kawasan tanah tebus guna seluas 60 ekar bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang, loji itu turut disokong talian penghantaran elektrik baharu 500 kV dwi-litar sepanjang 37 kilometer menghubungkan PIPP ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Olak Lempit serta saluran paip gas sepanjang 42 kilometer menghubungkan Paip Gas Utama (PGU) Puchong ke loji.
Kenyataan itu memaklumkan, sebagai sebuah fasiliti moden berasaskan turbin gas kitaran gabungan, PIPP beroperasi dengan kecekapan melebihi 60 peratus sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berbanding loji jana kuasa terma generasi lama.
PIPP mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 1 Mac 2025 di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan menjana lebih daripada 2,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunannya.
“Projek itu turut disenaraikan secara rasmi di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) (2021–2025), iaitu rancangan pembangunan berstruktur pertama negeri Selangor yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan, daya tahan infrastruktur serta kemajuan sosioekonomi inklusif.
“Diiktiraf sebagai satu daripada 13 projek berimpak tinggi aktif di bawah RS-1, PIPP menekankan kepentingan strategik dalam memperkukuh keselamatan tenaga Selangor dan menyokong matlamat pembangunan jangka panjang negeri,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Fadhillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi kenyataan sama berkata projek berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam infrastruktur tenaga negara, daya tahan ekonomi serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Keselamatan tenaga adalah asas kepada pertumbuhan Malaysia. Apa yang kita saksikan hari ini di Pulau Indah bukan hanya mercu tanda tenaga negara, tetapi juga bukti bagaimana negeri seperti Selangor memacu kemajuan yang menyokong peluang pekerjaan, keyakinan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan yang sama berkata loji janakuasa itu mencerminkan komitmen Selangor untuk memperkukuh ekonomi negeri melalui pelaburan dalam infrastruktur tenaga yang boleh dipercayai.
“Ia juga untuk memperkasakan syarikat berwibawa seperti WHB, serta mendukung visi jelas ke arah masa depan rendah karbon. Melalui projek seperti PIPP, Selangor bukan sekadar menyokong matlamat nasional tetapi turut membantu membentuknya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial