SUKAN > BERITA

RHB LEKAS HIGHWAY RIDE EDISI KE-10 CATAT PENYERTAAN 6,017 PELUMBA 

11/10/2025 10:53 PM

KAJANG, 11 Okt (Bernama) -- Acara RHB LEKAS Highway Ride 2025 edisi ke-10 mencatatkan  penyertaan sebanyak 6,017 pelumba basikal dari 23 negara, membabitkan laluan di sepanjang Lebuhraya LEKAS E21 yang ditutup sepenuhnya kepada kenderaan.

Anjuran bersama oleh Kumpulan Perbankan RHB (RHB) dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS), anak syarikat IJM Corporation Berhad, dan acara itu telah dilepaskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun di Plaza Tol Kajang Selatan pada 7.45 malam.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata penganjuran kali ke-10 itu satu pencapaian penting bagi RHB.

“Dari tahun ke tahun, acara itu bukan lagi sekadar perlumbaan basikal semata-mata, tetapi juga usaha untuk merapatkan komuniti, memupuk gaya hidup sihat dan mencipta kenangan yang berkekalan. 

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada acara itu dan berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Lebuhraya LEKAS bagi menghimpunkan komuniti berbasikal daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang di seluruh rantau ini,” katanya kepada pemberita pada acara RHB LEKAS Highway Ride 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad Datuk Lee Chun Fai berkata acara berkenaan terus menjadi tradisi bermakna yang menyatukan pelumba  daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Meraikan RHB LEKAS Highway Ride edisi ke-10 menjadi detik membanggakan kepada kami di IJM. Apa yang bermula sebagai idea unik untuk membuka lebuh raya kepada aktiviti berbasikal kini menjadi tradisi yang menyatukan lebih banyak penggemar sukan ini.

“Ia menunjukkan kepercayaan kami bahawa lebuh raya bukan hanya untuk kegunaan perjalanan, sebaliknya boleh menjadi ruang yang menyatukan orang ramai dan mendorong gaya hidup lebih sihat serta aktif,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu juga mencerminkan kerjasama kukuh dengan RHB serta komitmen pasukan LEKAS dalam memastikan persekitaran yang benar-benar selamat bagi para peserta.

Acara itu turut menyaksikan Institut Jantung Negara (IJN) kembali sebagai rakan perubatan rasmi, menyaksikan Klinik Kesihatan Bergerak RHB-IJN ditempatkan di sepanjang laluan bagi menyediakan saringan kesihatan, rawatan kecemasan dan bantuan kesihatan kepada peserta.

Sejak 2022, acara berkenaan menarik lebih 5,000 pelumba basikal setiap tahun dan kini menjadi antara acara kayuhan beramai-ramai terbesar di negara ini.

Pada 2024, acara itu mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori “Longest Distance on a Closed Highway (105 km)” dan “Largest Participation in a Highway Night Cycling Event.”

Pada tahun ini, laluan sejauh 44.3 kilometer (km) itu meliputi jalan antara Kajang dan Paroi, Negeri Sembilan, dengan pelbagai kategori termasuk Kayuhan Kompetitif 105 km, Kayuhan 78 km, Kayuhan Terbuka 17 km, serta Kayuhan Remaja 17 km dan 12 km.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan