AM > BERITA

Kapal Misi GSF Dijangka Tiba Di Zon Merah Esok - SNCC

30/09/2025 09:13 PM

SEPANG, 30 Sept (Bernama) -- Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam iaitu sekitar 7 petang esok, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata setakat ini, semua kapal GSF disahkan telah memasuki zon kuning tahap dua pada 3 petang hari ini. 

“Jarak terkini kapal-kapal berkenaan adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza. Tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam.

“Kelajuan (kapal) dan cuaca sangat baik. Kelajuan kapal paling hadapan adalah 4.9 knot dan mereka berada dalam jangkaan yang baik,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM di sini hari ini. 

Susulan perkembangan terbaharu itu, Sany Araby berkata SNCC akan mengaktifkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan. 

Beliau berkata kemasukan kapal GSF ke zon merah perlu diberi perhatian penuh kerana ia dikategorikan sebagai zon kritikal.

“Ini kita akan kategorikan sebagai zon yang kritikal kerana pada bila-bila masa mereka boleh dipintas dan selalunya mereka dipintas pada waktu malam.

“(Ia) melihat kepada corak yang telah berlaku kepada Madleen, Handala dan Mavi Marmara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata delegasi Malaysia yang menyertai GSF dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat sekali gus menyeru semua pihak mendoakan kejayaan misi kali ini.

“SNCC sekali lagi menegaskan agar semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber sahih. Sebarang maklumat yang tidak sahih memenangkan propaganda pihak zionis dan akan membina naratif yang salah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata SNCC mengesahkan dua flotila iaitu Nusantara (Tunisia) dan Taigete (Itali) mengalami kerosakan serius dan tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.

“Dalam pada itu, SNCC menerima laporan kapal Sirius dan Free Willy yang mengalami kerosakan telah berjaya dibaiki dan meneruskan pelayaran.

“Kerosakkan kapal Fair Lady pula menyebabkan ia sedang ditunda oleh kapal Estrella Manuel dan meneruskan pelayaran,” katanya menambah, SNCC turut mengesahkan kehadiran dua Kapal GSF iaitu Sunflower dan Australe dari Turkiye.

Beliau menyeru semua pihak mengikuti perkembangan misi yang dikemas kini oleh SNCC dan laman tracker yang telah disediakan.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Mereka merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas wilayah itu.

Flotila berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan