AM > BERITA

Nurul Izzah Tuntut Tindakan Terhadap Pemintasan Flotilla, Gesa Kepungan Ditamatkan

10/10/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa pihak berkaitan bertanggungjawab atas perlakuan yang disifatkan sebagai pemintasan haram terhadap Freedom Flotilla dan mendesak supaya pengepungan di Gaza yang berlarutan selama ini dihentikan secara kekal.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata walaupun laporan mengenai pembebasan sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia sesuatu yang melegakan, perkara itu sama sekali tidak menghapuskan jenayah yang dilakukan oleh tentera Israel.

"Penahanan mereka ialah sebahagian daripada kempen sistematik serangan ganas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, antara pelanggaran undang-undang maritim paling serius," katanya.

Nurul Izzah berkata tindakan memintas kapal terbabit adalah sebahagian daripada corak pencerobohan kejam termasuk insiden rampasan kapal kargo kemanusiaan, Annie pada Jun, yang membawa lebih 5,000 tan bantuan yang menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata serangan itu berterusan pada Julai apabila kapal utama Handala, yang berlepas dari Syracuse, Itali, dengan membawa aktivis, petugas perubatan, peguam, wartawan dan bekalan kemanusiaan.

"Jenayah ini tidak meninggalkan sebarang keraguan – kita menyaksikan rejim yang beroperasi dengan tiada batas undang-undang, mencabar mahkamah antarabangsa, melanggar undang-undang maritim, dan menghukum penduduk awam secara kolektif," katanya.

Nurul Izzah berkata serangan itu dilakukan dengan mencabar institusi perundangan antarabangsa termasuk keputusan awal Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan penemuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebarangkalian berlakunya genosid di Gaza.

"Menyerang flotila kemanusiaan dalam konteks ini ibarat meludah ke muka undang-undang antarabangsa dan institusi yang diwujudkan untuk menegakkan keadilan undang-undang," katanya dan menambah tindakan itu melanggar Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut dan prinsip kebebasan pelayaran.

Beliau juga menyifatkan serangan itu sebagai tindakan melanun yang berkait rapat dengan sekatan haram dan berterusan terhadap Gaza, sambil mengulangi laporan daripada Amnesty International dan kumpulan hak asasi lain yang menuduh Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.

"Misi flotila ini merupakan cabaran langsung terhadap sekatan ini – sekatan yang diarahkan oleh ICJ supaya ditamatkan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk yang berdepan kebuluran," katanya.

Nurul Izzah turut mengutuk serangan terbaharu Israel yang mengorbankan lebih 50 penduduk Palestin, beberapa jam selepas gencatan senjata diumumkan, sambil menegaskan bahawa tindakan itu membuktikan rejim terbabit terus memperlekehkan undang-undang antarabangsa dan usaha perdamaian.

Dalam pada itu, beliau memuji keberanian delegasi Malaysia, termasuk Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan rakan mereka yang menyertai misi berkenaan yang diselaraskan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Nurul Izzah berkata walaupun usaha diplomatik membantu membebaskan mereka, perhatian global kini perlu tertumpu kepada usaha menangani ketidakadilan sistemik yang mengekalkan pengepungan terhadap Gaza.

Secara keseluruhan, kira-kira 150 sukarelawan dari 25 negara mengambil bahagian dalam misi itu, dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Mohd Alauddin, Dr Fauziah, Dr Hafiz, Dr Ili Syakira, Mohd Afandi, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala doktor perubatan Dr Maziah Muhammad menaiki kapal Umm Saad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan