AM > BERITA

Rejab Ismail Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Ketika Hendak Ke Bilik Air - Anak

30/09/2025 06:43 PM

KANGAR, 30 Sept (Bernama) -- Sasterawan kelahiran Perlis Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F.I meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Gorah, Repoh di sini awal pagi tadi, selepas terjatuh ketika hendak ke bilik air.

Anak sulungnya Ronifira Rejab, 60, berkata bapanya yang juga penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara 2016 mengalami keuzuran sejak enam bulan lepas namun tidak mempunyai masalah kesihatan serius selepas mengambil ubat diabetes kira-kira lima tahun lepas.

“Ayah terjatuh semasa berjalan ke bilik air dan terus tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia kira-kira 3.50 pagi tadi,” katanya semasa ditemui Bernama di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh di sini

Ronifira berkata arwah bapanya yang berusia 84 tahun menghembuskan nafas terakhir di samping isteri Fatimah Taha, 82, dan seorang lagi anaknya Rizal Irwandi, 50 tahun.

Jenazah Rejab selamat dikebumikan kira-kira 2.30 petang tadi selepas selesai solat jenazah di Masjid Tun Abdul Razak Repoh.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menerusi hantaran Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan arwah sebagai tokoh sasterawan yang mengharumkan nama negeri serta negara dalam bidang kesusasteraan tanah air dan antarabangsa.

“Sepanjang hayatnya, beliau banyak menyumbang dalam bidang penulisan dengan ratusan karya yang menjadi khazanah bangsa, malah sebahagiannya terpilih sebagai teks KOMSAS (komponen sastera) di sekolah,” katanya.

Mohd Shukri berkata pemergian Rejab merupakan kehilangan besar buat dunia sastera khususnya di Perlis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan