EKONOMI > BERITA

KERAJAAN PERKENAL STATUS ABE BAGI SOKONG PERTUMBUHAN SYARIKAT TEMPATAN DI ASEAN

11/10/2025 02:22 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan status Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang diselaras Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memudah cara pergerakan bakat mahir, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata status itu diberikan kepada syarikat senaraian awam yang memiliki jejak pasaran meluas di ASEAN dan syarikat pertengahan yang berpotensi mengembangkan operasi.

Penubuhan ABE mula dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia Tan Sri Nazir Razak.

ASEAN-BAC Malaysia mencadangkan agar negara-negara ASEAN mengiktiraf kategori yang dipanggil ABE untuk memupuk syarikat yang bukan bersifat tempatan atau global bagi merangsang lebih banyak perniagaan serantau.

Nazir berkata setelah diperakui sebagai ABE, sesebuah syarikat boleh menikmati insentif serta keistimewaan yang diberikan oleh negara anggota termasuk akses pasaran yang lebih besar.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal yang diwartakan untuk Zon Kewangan Khas Forest City menempa kejayaan besar susulan lulusnya enam Pejabat Keluarga dengan aset di bawah pengurusan (AUM) hampir RM400 juta dalam tempoh kurang setahun.

“Sebanyak 30 lagi Pejabat Keluarga telah menyatakan minat. Malaysia di landasan tepat untuk mencapai RM2 bilion AUM pada penghujung 2026,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Investor Pass yang diterajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyediakan kemudahan Multiple Entry Visa sehingga 12 bulan kepada pelabur asing.

“MIDA akan lebih proaktif untuk tidak hanya menunggu permohonan tetapi menawarkan Investor Pass kepada syarikat multinasional dan bakal pelabur dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E).

Residence Pass–Talent Fast Track diteruskan untuk memastikan bakat-bakat yang dibawa masuk oleh pelabur strategik diuruskan secara pantas dan teratur, termasuk mengecualikan syarat Pas Penggajian selama tiga tahun," katanya.

Mulai suku pertama 2026, Anwar berkata Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan yang menumpukan kepada aktiviti berpertumbuhan tinggi akan dilaksanakan sepenuhnya bagi sektor perkilangan dan diikuti sektor perkhidmatan pada suku kedua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan