AM > BERITA

Malaysia MADANI, Berintergriti dan Bebas Rasuah

30/09/2025 10:29 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) – Agenda pemerkasaan tatakelola, integriti dan antirasuah sentiasa menjadi keutamaan negara ke arah Malaysia MADANI yang berintegriti dan bebas rasuah. 

“Rasuah dianggap ibu segala jenayah, tanpa rasuah, jenayah lain tidak akan dapat dilaksanakan. Justeru itu, SPRM perlu tegas mengambil tindakan dengan menggunakan kaedah baharu dalam menangani isu rasuah dan integriti bagi meningkat keyakinan masyarakat terhadap SPRM. 

'Selaras dengan penubuhan SPRM, lima mekanisme tanggungjawab telah diwujudkan yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi serta peranannya. Kelima-lima badan bebas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM," kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Terbuka Siri 43 Bil. 3 Tahun 2025 di Dewan Zaa’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

“Saya berharap peserta yang berjaya menyelesaikan program CeIO dapat menjadi duta dalam membudayakan integriti, tatakelola baik serta mencegah rasuah di agensi dan jabatan masing-masing” katanya.  

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dalam ucapan perasmian berkata, negara perlu melahirkan generasi yang bebas rasuah dan ia perlu dilaksanakan dengan usaha semua pihak bagi mencapai ke arah Malaysia MADANI, berintegriti dan bebas rasuah.

“Antara ciri-ciri negara hebat adalah bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah. Kita memerlukan komitmen yang berterusan untuk lahirkan generasi bebas rasuah. KPT akan sentiasa memberi kerjasama dengan SPRM bagi melahirkan generasi bebas rasuah bermula daripada peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti,” katanya. 
  
Pada majlis itu, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambri turut melancarkan logo projek Enhancing Integrity Project (EIP) peserta CeIO bertemakan “Be a Buddy, Zero Bully”.  

Menurutnya, perbuatan buli tidak harus diambil mudah kerana semakin menjadi-jadi dan terkait dengan peningkatan peratusan kesihatan mental dalam generasi hari ini.

Turut diadakan Seminar Kelestarian Integriti dengan tajuk “Buli: Di Mana Integriti Kita? Memartabatkan Integriti, Menolak Buli” yang merupakan sebahagian daripada program tersebut yang menghimpunkan pegawai integriti, pendidik, mahasiswa serta wakil agensi kerajaan.

Panel perbincangan sepakat bahawa budaya berdiam diri terhadap buli sama seperti berkompromi dengan integriti, manakala usaha pencegahan perlu bermula dari akar umbi melalui pendidikan, peranan rakan sebaya serta pengukuhan dasar antibuli di institusi pendidikan.

Turut hadir Timbalan Menteri KPT, Datuk  Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), SPRM Dato’ Mohd Hafaz Nazar.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan