AM > BERITA

Malaysia Sambut Baik Pelan Gaza Trump, Desak Pelaksanaan Sepenuhnya

30/09/2025 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Malaysia menyambut baik usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang Israel di Gaza melalui pelan komprehensif, sambil menyuarakan harapan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata pelan itu, yang dinanti-nantikan masyarakat antarabangsa, merupakan langkah penting ke arah menamatkan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza.

“Malaysia berharap pelan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, pengunduran pasukan Israel, kepulangan pelarian dan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta pembinaan semula Gaza,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar menegaskan perlunya pelaksanaan pelan tersebut selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi berkaitan, selain perlindungan kepada rakyat Palestin serta menangani isu keadilan dan akauntabiliti.

“Semua ini adalah penting untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, keselamatan serta kestabilan untuk semua pihak di rantau berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan anggota masyarakat antarabangsa lain dalam menyokong usaha murni untuk mencapai keamanan di Gaza, memastikan pengintegrasian Gaza dengan Tebing Barat serta merealisasikan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Pada Isnin, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Pelan itu termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin tanpa kaitan politik untuk mentadbir enklaf itu, menurut laporan Anadolu Ajansi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan