AM > BERITA

PPZ-MAIWP Catat Kutipan Zakat RM62.86 Juta Menerusi Tiga Kempen

01/10/2025 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merekodkan kutipan zakat berjumlah RM62.86 juta menerusi tiga kempen yang melibatkan 20,688 pembayar zakat. 

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata kempen Jom Tambah, Semarak Zakat dan Jom Ulang diadakan bagi menggalakkan lebih ramai individu, termasuk kakitangan swasta dan penjawat awam beragama Islam, untuk menunaikan zakat melalui PPZ-MAIWP.

“Pada masa sama, kempen ini turut memperkukuh usaha PPZ-MAIWP dalam meningkatkan kutipan zakat, sekali gus memastikan lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat menerima manfaat yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, PPZ-MAIWP memaklumkan nilai yang dicatatkan tidak termasuk jumlah kutipan keseluruhan Kempen Jom Ulang yang hanya akan berakhir 31 Dis ini.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen diadakan di ibu pejabat PPZ-MAIWP, Cheras semalam, dengan hadiah utama termasuk pakej percutian, pakej umrah, motosikal, komputer riba, basikal lipat, Google TV, jongkong emas dan skuter elektrik.

PPZ-MAIWP memaklumkan pada majlis itu, seramai 28 pemenang utama hadir bagi menerima penghargaan dengan tujuh daripadanya adalah pemenang utama Kempen Jom Tambah, 20 lagi bagi Kempen Semarak Zakat dan seorang pemenang bulanan (Ogos) Kempen Jom Ulang.

“Secara keseluruhan, seramai 327 pembayar bertuah dipilih sebagai pemenang selepas tempoh kempen berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, PPZ-MAIWP menyeru mereka yang pernah menunaikan zakat di PPZ-MAIWP untuk mengulangi kebaikan dengan kembali menunaikan zakat melalui Kempen Jom Ulang yang masih berlangsung hingga akhir tahun ini.

“Orang ramai masih berpeluang menyertai kempen ini, di mana setiap penyertaan bukan sahaja membuka peluang memenangi hadiah menarik, malah memperluas manfaat kepada asnaf di Wilayah Persekutuan.

PPZ-MAIWP juga menyeru individu dari sektor awam dan swasta untuk menyertai Kempen Jom Potong dengan memulakan atau menambah potongan zakat bulanan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) yang berlangsung dari Julai hingga Disember ini. 

Antara hadiah menanti pemenang adalah pakej percutian enam negara, pakej umrah, motosikal, Playstation 5 (PS5), Macbook Air dan pelbagai hadiah menarik, manakala 5,000 pembayar terawal yang mula atau menambah potongan zakat bulanan akan menerima baucar Gloria Jean’s Coffees bernilai RM5 (dengan pembelian minimum RM15 tertakluk pada terma dan syarat). 

Untuk maklumat lanjut mengenai zakat dan kempen yang sedang berlangsung, orang ramai boleh melayari portal rasmi PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan