KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan khusus untuk kontraktor bumiputera kelas G1 hingga G4 bagi memacu agenda ekonomi bumiputera melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah pelan yang sama, daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan bumiputera.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Program Jaguh Serantau SME Bank turut menyediakan pinjaman RM200 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana bumiputera bagi menembusi pasaran eksport.
"Program Penskalaan Usahawan Bumiputera Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, menurut Anwar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda dalam industri pembinaan.
Beliau berkata sebanyak RM105 juta diperuntukkan untuk VentureTECH Sdn Bhd bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.
Pada masa masa, beliau memaklumkan VentureTECH melabur ke dalam 31 syarikat teknologi bumiputera dengan sembilan daripadanya menembusi pasaran global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial