AM > BERITA

PM Anwar Dan Pasukan Berhubung Dengan Pihak Berkepentingan Bagi Bebaskan Sukarelawan GSF

02/10/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan segera.

Perdana Menteri berkata perkembangan mengenai proses pembebasan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri turut berkongsi video perbualan beliau dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby yang antaranya memberikan laporan terkini berhubung misi berkenaan. 

Secara keseluruhan, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF menuju Gaza.

Sehingga 7.50 pagi tadi waktu Malaysia, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, malam tadi.

Dalam satu hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan ahli keluarga aktivis dan sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel, terus dimaklumkan mengenai perkembangan proses pembebasan mereka.

“Mendoakan ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam meghadapi detik mencabar ini,” katanya.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam sidang media hari ini memaklumkan kesemua peserta misi GSF termasuk rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel diyakini berada dalam keadaan selamat di atas kapal masing-masing.

Beliau berkata SNCC mengesahkan bahawa tentera rejim Israel telah mengarahkan kapal menukar laluan dari Gaza mengikut arahan radio ke lokasi yang belum disahkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan