AM > BERITA

Kerajaan Akan Lipatgandakan Sokongan Terhadap Sektor Bernilai Tinggi - PM Anwar

10/10/2025 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan melipatgandakan sokongan terhadap sektor bernilai tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan RM200 juta Dana Pelaburan Bersama Strategik akan menyediakan dana padanan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan yang mengukuhkan rantaian bekalan sektor utama melalui platform Pendanaan Ekuiti (ECF) dan Pembiayaan Rakan Setara (P2P). 

Selain itu, sebanyak RM180 juta Dana Pembangunan Industri Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 diperuntukkan bagi membiayai program pembangunan industri di bawah sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), digital dan kelestarian, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor bagi meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional.

Menurut beliau, di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti penelitian dan pengembangan (R&D), terutamanya oleh syarikat tempatan yang menyokong ekosistem elektrik dan elektronik (E&E).

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan meluncurkan SemiconStart, program inkubator oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama inkubator global bagi membantu syarikat pemula semikonduktor yang sering berdepan halangan kemasukan susulan kos prototaip yang mahal.

“Ini dapat membantu syarikat pemula niaga peringkat awal mendapatkan bimbingan, akses pembiayaan global, penyediaan prototaip pada harga diskaun dan rangkaian pelanggan,” kata beliau.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan